Rabu, 15 Januari 2014

Apa depa buat di sinun?

Kenyataan Media MuslimUPRo
14 Januari 2014 I 12 Rabiul Awwal 1435

Delegasi MuslimUPRo kini sedang berada di Geneva, Switzerland untuk meneruskan agenda melobi NGO-NGO Hak Asasi Manusia (HAM) dan misi perwakilan negara-negara anggota PBB menjelang penerimaan muktamad (final adoption) syor-syor kepada Malaysia semasa sesi ke 17 Semakan Berkala Sejagat (UPR) pada 24 Oktober 2013 baru-baru ini.

Semasa sesi penuh Majlis HAM pada bulan Mac ini, pihak Kerajaan Malaysia akan mengesahkan untuk menerima atau menolak mana-mana dari 232 syor-syor yang dikemukakan negara-negara anggota Majlis HAM PBB semasa sesi UPR ke 17 tersebut dijalankan.

Selain itu, delegasi MuslimUPRo juga berada di Geneva untuk memulakan kerjasama jangka masa panjang dengan salah sebuah NGO terkemuka di sini, Geneva International Center for Justice sebagai penzahiran persefahaman yang mula dicapai di dalam misi pertama Oktober lepas. 

Bentuk kerjasama pertama ialah latihan Hak Asasi Manusia bagi enam aktivis pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI). Ini dilakukan sebagai persediaan melaksanakan program latihan jangka panjang yang lebih lengkap bagi aktivis-aktivis NGI dari Malaysia. Pada sesi kali ini, wakil MuslimUPRo turut dianggotai Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim (PPMM) Dato‘ Zainul Rijal Abu Bakar dan Pengerusi Yayasan Nassar, Ustaz Nasharudin Mat Isa.

Antara bidang tumpuan inisiatif latihan ini adalah pendedahan kepada peserta tentang aspek teori dan perlaksanaan mekanisme HAM di peringkat Majlis HAM PBB, prosedur-prosedur khas HAM melibatkan triti dan konvensyen di bawah PBB termasuk proses UPR serta usaha usaha pendidikan HAM bagi negara negara anggota sebagai program berterusan di bawah PBB.

Antara objektif latihan dengan GICJ ini adalah seperti berikut:

1) Memberi pendedahan tentang teori, sistem dan mekanisme HAM PBB kepada aktivis-aktivis NGI secara ilmiah dan professional; 

2) Menyediakan aktivis-aktivis NGI yang mahir dengan selok belok mekanisme pencapaian HAM; 

3) Meneruskan usaha MuslimUPRo untuk menyediakan laporan pihak berkepentingan (stakeholder) bagi sesi UPR di masa hadapan.; dan 

4) Mewujudkan rangkaian aktivis aktivis NGI yang mampu memahami serta terlibat di dalam mana-mana mekanisme HAM di peringkat PBB, termasuk proses UPR yang menjadi mekanisme penting semakan rekod HAM negara-negara anggota.

Modul latihan yang dirangka juga mempunyai agenda besar untuk dilaksanakan di kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC). MuslimUPRo telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dan menawarkan kepakaran profesional dan aktivisme khususnya kepada Suruhanjaya Tetap dan Bebas Bagi Hak Asasi Manusia OIC (IPHCHR) untuk membuka ruang penglibatan kepada aktivis-aktivis NGI dari kalangan negara anggota OIC.

Hasrat ini adalah susulan dari komitmen dan seruan yang dizahirkan Tuan Yang Terutama Climane Shaikh, Wakil Tetap OIC ke Genevasemasa delegasi MuslimUPRo menyerahkan Memorandum serta mengadakan perbincangan dengan beliau bulan Oktober lalu.

Keprihatinan MuslimUPRo bahawa faham dan gerakan HAM sejagat yang dilatari unsur-unsur liberal sekular, serta beberapa tuntutan terhadap Malaysia dan negara-negara Islam lain yang didapati tidak munasabah serta mengancam akidah, syariah, akhlak serta kesejahteraan moral manusia secara umum merupakan perkara asas yang menggerakkan inisiatif latihan dan lobi ini. 

Pada MuslimUPRo, mana-mana tuntutan yang tidak munasabah perlulah ditolak dan negara-negara anggota PBB secara umumnya perlu diberikan alternatif dari sudut pandangan keagamaan yang tepat dan berfungsi sebagai formula yang menyelamatkan tamadun manusia dari kehancuran akibat tuntutan-tuntutan melampau HAM. 

Pada masa yang sama, MuslimUPRo menegaskan komitmen terhadap mekanisme HAM yang membuka ruang untuk memperbaiki keadaan keadaan HAM di negara negara anggota PBB. Secara khususnya di dalam konteks Malaysia, pembaikan rekod HAM hendaklah berdasarkan tuntutan tuntutan yang absah dan tidak melanggar kedaulatan Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan istimewa Islam di Negara ini.

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Delegasi MuslimUPRo
Geneva, Switzerland