Ahad, 11 Mei 2014
BN Perjuangkan Nasib Ibu Tunggal Melalui Juwita
Posted: 10 May 2014 06:03 AM PDT
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Perjuangan Barisan Nasional (BN) adalah untuk semua individu tanpa mengira lapisan masyarakat dan perbezaan kaum termasuklah golongan wanita yang bergelar ibu tunggal, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Katanya, melalui program Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal (Juwita), Pergerakan Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bergerak membantu memperjuangkan nasib golongan terbabit bersandarkan kepada satu payung sahaja.
“Juwita membantu persatuan-persatuan ibu-ibu tunggal di bawah satu payung untuk berjuang dan membela nasib mereka dan memastikan mereka mendapat kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Juwita: Ratu Hatiku yang turut menyaksikan proses menandatangani memorandum persefahaman antara Juwita dengan tujuh persatuan ibu tunggal kebangsaan di Hotel Primiera, hari ini.
Menurutnya, Juwita akan mengambil perhatian kepada nasib ibu-ibu tunggal melalui perundangan, polisi dan peraturan-peraturan yang ada bagi memastikan sebarang masalah berbangkit dapat diselesaikan.
“Dua KPI utama Juwita kali ini ialah untuk mewujudkan kad insurans kepada golongan ibu-ibu tunggal bagi mendapatkan rawatan kesihatan untuk ahli keluarga mereka serta yang kedua ialah untuk mendapatkan kad diskaun bagi memperoleh potongan bagi harga barangan tertentu terutamanya barangan keperluan harian.
“Dengan pemberian kad diskaun tersebut,ia sedikit sebanyak membolehkan ibu tunggal yang menjadi ketua keluarga mampu menyara hidup keluarga mereka lebih mudah.”
Beliau yang juga Yang Dipertua Juwita Kebangsaan turut menjelaskan bahawa pengerusi Juwita telah diwujudkan di 191 pejabat Wanita UMNO bahagian di setiap kawasan Parlimen bagi mendapatkan maklumbalas dan menyampaikan kepada pihak atasan berkaitan masalah-masalah yang ada.
Dalam majlis yang dihadiri lebih 2,000 peserta ini, turut dihadiri oleh wakil usahawan ibu tunggal yang hadir bagi mempromosikan barangan dan produk keluaran mereka.
Juwita adalah satu pertubuhan yang dinaungi oleh Wanita Barisan Nasional dan diuruskan oleh Wanita UMNO dan telah dilancarkan tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Selain itu, Juwita juga berperanan sebagai perantara anatara persatuan ibu tunggal dan gensi-agensi kerajaan yang berkaitan bagi membantu permasalahan yang dihadapi.