Khamis, 22 Mei 2014

#PRKTelukIntan : Dyana Sofya digesa mendalami dasar-dasar parti sekular Dap

Calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud digesa untuk memahami secara lebih mendalam perjuangan parti berkenaan yang mempertahankan dasar sekular.

Ketua UMNO Bahagian Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang membuat gesaan itu berkata, beliau terperanjat apabila Dyana Sofya menyatakan untuk menentang rang undang-undang hudud yang mahu dibentang Pas di Parlimen sekiranya memenangi pilihan raya kecil itu.

Calon berusia 27 tahun itu menyatakan beliau menentang hudud sejajar dengan ‘party line’ atau perjuangan DAP.

“Sekularisme adalah konsep bahawa kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing daripada agama atau kepercayaan agama. Bagaimana DAP mempunyai ‘party line’ sebegitu sedangkan ia adalah parti yang sekular?,” kata Shahrir dalam sidang akhbar di Pejabat UMNO Bahagian Johor Baharu di sini hari ini.

Menurut beliau, DAP sebagai sebuah parti yang mempertahankan sekularisme, ia perlu membenarkan pemimpin dan wakilnya yang beragama Islam membuat pendirian sendiri berasaskan pendirian sebagai seorang Muslim.

Menghormati pendirian Dyana Sofya menyertai DAP, Shahrir yang merupakan veteran UMNO berkata, perkara tersebut bukan sesuatu yang pelik meskipun Dyana Sofya dibesarkan dalam keluarga yang menyokong perjuangan UMNO.

“Keadaan kini lebih terbuka di mana tidak perlu terperanjat jika satu keluarga ada pandangan atau politik yang berbeza sama seperti saya dengan adik beradik saya.

“Kakak saya terpengaruh dengan sosialisme ketika belajar di UK pada 60-an. Ketika belajar di Universiti Malaya saya terpengaruh dengan UMNO yang memperjuangkan Dasar Ekonomi Baru manakala adik saya (Khalid – anggota Parlimen Shah Alam) menyokong Pas selepas terpengaruh dengan Revolusi Islam ketika belajar di UK,” katanya memberikan contoh.

Shahrir turut melahirkan keyakinan terhadap calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong untuk mampu merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan daripada pembangkang.

“Mah masih mempunyai peluang untuk menang kerana walaupun kalah kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013, beliau terus memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat di situ. Adakah DAP mampu memberikan perkhidmatan sepertinya?” soal beliau.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.