Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyifatkan Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan bukanlah pertandingan di antara ‘beauty and the beast’ sebaliknya untuk memilih wakil rakyat yang boleh berbakti kepada masyarakat tempatan di kawasan yang diwakilinya.
“Memang tidak dinafikan wakil yang ditampilkan oleh pihak sebelah sana tu memang comel orangnya, tetapi rakyat harus memilih wakil mereka bukan atas faktor tersebut sebaliknya rakyat harus melihat siapa yang boleh berbakti, boleh memberi perkhidmatan yang terbaik berdasarkan rekod-rekod yang ada, dengan kelayakan-kelayakan yang ada untuk membolehkan orang ini berbakti dan membawa sesuatu perkhidmatan kepada kita.
“Oleh sebab itu, BN meletakkan Datuk Mah Siew Keong lagi walaupun ada yang mempertikaikan adakah tidak ada calon lain untuk dijadikan sandaran BN di Teluk Intan,” ujarnya ketika majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Kampung Ayer Hitam di sini, hari ini.
Tambah beliau, bukan soal tidak ada pilihan lain tetapi BN meletakkan calon anak tempatan yang lebih tahu hati budi dan apa yang perlu dilakukan untuk masyarakat di kawasan Teluk Intan ini.
“Kita nak orang ini (Mah Siow Keong) terus beri perkhidmatan, dan kita seharusnya berbangga kerana serorang pemimpin yang telah diuji, perjalanan politiknya diuji dengan hebat, sesetengah orang tak mampu menghadapinya, 2008 kalah, 2013 kalah lagi tiba-tiba nama naik lagi, inilah ciri kepimpinan dan perjuangan yang kita perlukan untuk masyarakat dan rakyat.
“Maksudnya, Mah tidak pernah kecewa dalam hidupnya, dia nak berikan sesuatu kepada masyarakatnya, perkhidmatan terbaik kepada masyakatnya. Masyakat di sini lebih maklum siapa orangnya.
“Kita bukanlah nak memperkecil-kecilkan calon di sebelah sana, sebaliknya kita hanya mahu memperkenalkan calon kita. Biarlah mereka nak kata apa, saya dengar mereka dah pun mula mengarut. Biarkan mereka tetapi kita buat kerja untuk memperkenalkan sahaja calon kita ini kerana apa yang penting, kita cakap benda yang baik-baik sahaja, benda elok-elok sahaja tanpa mempersoalkan atau memperkecilkan orang lain,” ujarnya yang juga Menteri Besar negeri Perak