11 bulan pemerintahan pembangkang, Pas telah menjadikan kolej ini sebagai tempat aktiviti politik. Banyak program bercirikan politik dibuat di sana.
Bahkan ramai tenaga pengajar juga adalah penyokong parti tersebut. Kini setelah BN kembali memerintah, pengaruh politik sempit Pas semakin terhakis perlahan-lahan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengingatkan semua pihak agar tidak mencari keuntungan dengan mempolitikkan isu berkaitan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).
Menurutnya, ahli politik tidak seharusnya menjadikan KUISAS sebagai tempat mencari pengaruh, sekali gus akan menghancurkan masa depan institusi berkenaan.
"Saya ingatkan semua pihak, jangan hancurkan sesebuah institusi dengan menjadikannya sebagai gelanggang kepentingan politik mereka.
"Kerajaan negeri mempunyai matlamat besar bukan sahaja untuk menaik taraf KUISAS kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan pusat ilmuan terunggul, malah menjadi institusi dihormati, disegani dan berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Minggu Penghayatan Mahasiswa bagi sesi kemasukan mahasiswa baharu KUISAS, di sini semalam.
Zambry berkata, KUISAS akan menjadi sebuah universiti pada tahun depan atau selewat-lewatnya pada tahun 2016 dan beliau telah mengemukakan permohonan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan besar bagi rancangan masa hadapan institusi berkenaan.
"Bagi mahasiswa yang terpilih mengikuti pengajian di KUISAS, jangan jadikan institusi ini sebagai pilihan kedua dan ketiga selepas gagal mendapat tempat di IPTA.
"Mahasiswa jangan beranggapan bahawa institusi ini hanya tempat cukup makan sahaja, tetapi hendaklah ingat bahawa pencarian ilmu itu yang bermula daripada buaian hingga ke liang lahat sebagai satu peluang transformasi hidup kita," katanya.
Sementara itu, Rektor KUISAS, Profesor Dr. Jamil Hashim dalam ucapannya berkata, seramai 564 mahasiswa mendaftar masuk bagi sesi pertama 2014 manakala sesi kedua dan ketiga akan diadakan pada Jun dan September ini.
Katanya, kemasukan mahasiswa ke KUISAS dari tahun ke tahun semakin bertambah iaitu pada tahun 2011 seramai 350 mahasiswa, 2012 (800) dan 2013 (900) manakala pada tahun ini, sebanyak 1,200 tempat ditawarkan.
"Saya yakin dengan prasarana dan kemudahan lain yang terdapat di KUISAS, institusi ini pasti akan menjadi pilihan ramai suatu hari nanti," katanya.