Isnin, 19 Mei 2014

#PRKTelukIntan: Satu Cabaran Besar Kepada BN:- Datuk Mah Siew Keong





18/05/2014 -- PRK Teluk Intan: Satu Cabaran Besar Kepada BN:- Datuk Mah Siew Keong

"PRK Teluk Intan ini saya sifatkan sebagai satu cabaran yang amat besar bukan sahaja kepada saya tetapi seluruh jentera BN," kata Calon BN bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan berkerja keras untuk merampas semula kerusi tersebut daripada DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu, 31 Mei ini.

Malah katanya, beliau telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menawan semula kerusi parlimen itu

"Jadi saya mahu jentera BN perlu lebih bersiap siaga dengan kempen tersendiri.

"Malah, kita jangan sesekali memandang rendah pencabar daripada DAP iaitu Dyana Sofya.

"Saya anggap ini satu cabaran besar, tetapi jika kita semua bekerjasam sudah pasti peluang BN cerah walaupun BN kalah 7,000 majoriti undi pada PRU-13.

Sambil mengakui agak sukar kerana majoriti yang tinggi namun ini adalah satu cabaran buat semua jentera BN.

Justeru beliau berharap, dalam tempoh dua minggu semua jentera parti komponen BN dapat bekerjasama bagi memastikan kemenangan.

"Jika semua jentera dalam parti-parti komponen BN bekerjasama maka kita boleh menang, tetapi tidak hanya melalui saya dan pemimpin (BN) atas pentas ini sebaliknya yang akan menentukan kemenangan adalah pengundi.

"Jika BN menang, bukan Mah yang hebat tetapi BN di Teluk Intan hebat, Umno,MIC, MCA, Parti Progresif Penduduk (PPP) dan Gerakan yang hebat," katanya.

Ditanya mengenai tindakan DAP meletakkan calon Melayu menentangnya, Mah berkata beliau tidak melihat pencabarnya daripada sudut kaum tetapi lebih kepada menentang pembangkang.

Katanya beliau juga menghormati keputusan DAP meletakkan calon Melayu.

"Yang penting adalah untuk kita sedarkan pengundi siapa yang patut mereka pilih," katanya.

Mah, ahli politik berusia 53 tahun itu, pernah menyandang kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 1999 dan 2004. Pada Pilihan Raya Umum 2013, Mah tewas kepada calon DAP Seah Leong Peng dengan majoriti 7,313 undi.