Isnin, 26 Mei 2014

#PRKTelukIntan: Pengundi India memberi sokongan kepada BN

“Ini kali jangan bagi saya kalah,” itulah harapan dan permintaan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong kepada masyarakat India yang dianggap mampu menentukan kemenangannya.


Mah yang juga Presiden Gerakan, sibuk berkempen siang dan malam bagi merampas semula kerusi itu berkata, beliau tidak pernah melupakan kepentingan masyarakat India walaupun hilang kerusi berkenaan kepada calon DAP M. Manogaran pada 2008 dan Seah Leong Peng, pada 2013.


“Pemimpin DAP kata mereka hero. Hero apa… menang pun lari. Saya kalah pun di sini juga. Saya cuba buat yang terbaik untuk anda semua,” katanya sambil menyifatkan sokongan dan sambutan pengundi India semakin menggalakkan ketika menghadiri ceramah di Batu 6, Taman Desa Aman, di sini malam tadi.

Pengundi India berjumlah 11,468 atau 19 peratus daripada 60,349 pengundi dikatakan memainkan peranan penting menentukan kemenangan calon yang bertanding di kerusi Parlimen Teluk Intan.

Pengundian awal PRK Teluk Intan ialah pada 27 Mei dan hari pengundian 31 Mei.

Menurut Mah, setiap kali pilihan raya diadakan, DAP mengambil keputusan untuk meletakkan calon baharu setelah menyedari pengundi kecewa tidak mendapat perkhidmatan yang diharapkan.

“Mereka kata isu nasional lebih penting, tetapi tidak dapat selesaikan masalah penduduk di sini. Selesaikan masalah penduduk sebelum cakap pasal isu nasional.

“Sekarang pula mereka kata muda lawan tua. Saya belum tua, belum bersara, baru 57. Bukan itu sahaja mereka memburuk-burukkan saya dalam Internet dan ruang siber. Buat ‘photoshop’ yang bukan-bukan, lepas itu menghantar sms palsu,” katanya.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak matang, Mah juga meminta kedua-dua pihak agar menghentikan kempen kotor yang tidak mendatangkan kebaikkan kepada pengundi Teluk Intan.

Semalam, DAP membuat laporan polis berhubung penyebaran gambar seorang wanita berbikini yang didakwa calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang disebarkan di sekitar kawasan Changkat Jong.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mah dengan calon DAP Dyana yang diadakan berikutan wakil rakyatnya dari DAP Seah Leong Peng, 48, meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), 1 Mei lepas.