Khamis, 29 Mei 2014
#PRKTelukIntan: Zahid Selar Media Yang Manipulasi Ucapan Dan Kenyataannya
Zahid Selar Media Yang Manipulasi Ucapan Dan Kenyataannya
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan media tertentu yang dengan sengaja memanipulasikan kenyataan serta ucapan yang dibuat oleh beliau.
Zahid menambah, tindakan media berkenaan sekaligus menunjukkan kedangkalan penulisnya yang tidak cerdik dalam mentafsir fakta-fakta yang diberikan.
"Terima kasih kerana mereka memberikan keprihatinan terhadap ucapan saya dan saya tahu mereka berminat dengan saya dengan memutarbelitkan kenyataan yang telah saya keluarkan.
"Saya ucapkan tahniah kerana mereka cukup kreatif di dalam melakukan penyelewengan fakta dan memutarbelitkan apa yang saya perkatakan.
"Saya amat sukacita kerana ianya memperlihatkan kedangkalan penulis berkenaan dan bagaimana mereka tidak cerdik mentafsirkan apa yang saya perkatakan," katanya pada sidang media di Teluk Intan, semalam.
Menurut Zahid, dengan penyelewengan fakta yang dilakukan media berkenaan, ia sekaligus menunjukkan bahawa dirinya mempunyai kelebihan tertentu.
Jika tidak katanya, segala ucapan serta kenyataan yang dikeluarkan tidak akan dimanipulasikan dengan sengaja.
"Ini telah memberikan kelebihan kepada ucapan saya berbanding dengan ucapan-ucapan yang saya buat pada pilihanraya lain.
"Saya ucapkan tahniah dengan kebolehan mereka yang cukup kreatif di dalam memanipulasikan ucapan dan fakta-fakta saya," katanya lagi.