Jumaat, 9 Mei 2014

Ruang Kaum Dalam Borang Rasmi Kerajaan Dikekalkan:- DSD Mohd Najib Tun R...



Diterbitkan pada 8 Mei 2014
08/05/2014 -- Ruang Kaum Dalam Borang Rasmi Kerajaan Dikekalkan:- DSD Mohd Najib Tun Razak

Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan dasar penggunaan ruang kaum dalam borang permohonan rasmi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata kabinet telah memutuskan untuk tidak memansuhkan keperluan untuk mengisi ruang tersebut dengan kategori kaum.

"Saya ingin nyatakan bahawa tidak ada perubahan dasar kerajaan mengenai borang permohonan rasmi kerajaan dimana ruang kaum itu masih kekal.

"Kabinet tidak membuat keputusan memansuhkan keperluan untuk mengisi ruang tersebut dengan kategori kaum.

"Kita telah membincangkan perkara ini dan kabinet membuat keputusan untuk mengekalkan amalan dan dasar sedia ada," katanya pada sidang media selepas merasmikan Rumah UMNO Taiping di Taiping.

Justeru, Najib menerangkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun itu adalah tidak tepat.

"Saya diberitahu bahawa beliau akan memberi kenyataan pagi ini untuk memohon maaf atas kesilapan yang telah dilakukan oleh beliau.

"Apa pun yang penting sekali ialah keputusan kita untuk mengekalkan dasar sedia ada.

Menurut Najib, kenyataan Joseph itu dibuat mungkin kerana ada perbincangan berkaitan perkara itu sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, keputusannya telah dibuat dimana ia akan dikekalkan seperti sedia ada.

"Ini bukan untuk melebarkan jurang perbezaan antara kaum di negara kita dari segi sentimen atau perasaan tetapi sebaliknya kita perlu melihat perkara ini secara positif sebab kita nak menentukan bahawa setiap kaum di negara kita dapat pertimbangan yang adil dan tidak ada yang ketinggalan dari segi pembangunan, dari segi mendapat pertimbangan dari kerajaan.

"Malah, dari segi perangkaan statistik data, kita perlu ada perkara ini, kalau tidak data kita nanti tidak lengkap dan ini akan menimbulkan banyak kesulitan untuk kita melihat kemajuan kepada setiap kaum di negara ini.

"Dan kalau ada mana-mana kaum yang ketinggalan maka ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melakukan apa-apa yang patut supaya kekayaan di dalam negara kita lebih seimbang," katanya lagi.