Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (ILMU), Dr Fathul Bari Mat Jahya menggesa agar pihak Jawatankuasa Teknikal Pusat berhubung pelaksanaan hukum Hudud atau undang-undang jenayah Syariah tampil memberi penjelasan secara terperinci mengenai pelaksanaan hukum tersebut dan bukannya hanya berdiam diri.
Menurutnya, ini penting dalam memastikan pihak yang tidak berkepentingan dan mempunyai kepakaran dalam perlembagaan serta undang-undang termasuk ahli politik tidak mempolitikkan isu tersebut sehingga memberikan gambaran salah mengenai pelaksanaannya.
Jelasnya, sebagai sebuah negara Islam, hudud merupakan hukum Allah yang perlu dipatuhi oleh seluruh umat Islam tetapi pelaksanaan hukum tersebut perlu diperincikan dengan lebih sistematik berdasarkan keadaan semasa dan sosioekonomi sesebuah negara.
“Saya mahu supaya perkara ini (hudud) diperjelaskan oleh ahli jawatankuasa teknikal bebas dan tidak dipolitikkan.
“Kalau ahli jawatankuasa ini tidak bercakap dan biarkan ahli politik yang bersuara, akhirnya ia akan berbalik kepada kepentingan politik pihak tertentu sahaja.
“Jadi, sama ada pihak tersebut adalah UMNO atau PAS, tolong diam semua!.
"Nak buat ikut prosedur dan jawatankuasa ini tolong bersuara untuk memberi penjelasan yang lebih tuntas dengan memanggil mereka yang pakar,” katanya kepada Malaysian Digest, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz baru-baru ini yang menyatakan hukum hudud sukar untuk dilaksanakan di negara ini dan pihak yang membincangkan perkara tersebut disifatkan sebagai bodoh.
Mengulas mengenai perkara itu lagi, Fathul Bari yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, pandangan yang dilontarkan Nazri adalah berdasarkan pengalaman beliau sebelum ini sebagai bekas pengamal undang-undang yang berpengalaman menguruskan isu-isu di Parlimen dan hal ehwal undang-undang.
Jelas Fathul Bari lagi, pandangan Nazri juga tidak memberi gambaran terhadap pendirian UMNO bahawa parti itu menolak pelaksanaan hukum hudud yang ingin dilaksanakan kerajaan PAS Kelantan di negeri tersebut.
Sebaliknya, Fathul Bari menyatakan apa yang perlu diberi perhatian sekarang adalah beberapa kekangan yang wujud berhubung pelaksanaan hukum itu yang mana ia perlu disemak dan diteliti semula oleh pakar-pakar perundangan perlembagaan.
“Walaupun hanya akan mengubah dua akta dalam perlembagaan, tetapi ia sebenarnya akan membawa kepada perubahan sistem secara keseluruhannya.
“Jadi, berdasarkan kekangan tersebut bukan bermaksud kita (UMNO) tidak mahu buat, tetapi kita bimbang sekiranya kekangan ini akan membuat masyarakat melihat kaedah pelaksanaan hukum hudud itu sebagai tidak adil.
“Hudud tiada masalah, kerana hukum hudud adalah hukum Allah yang terbaik. Cuma, kekangan yang ada dari sudut pelaksanaan dan persediaannya perlu diperkemaskan.
“Sekiranya keberhasilan untuk melaksanakan hukum hudud berjaya mendapat sokongan Ahli Parlimen tetapi tidak menampakkan keadilan, kestabilan dan keamanan dalam Islam, kita bimbang kelak memberi imej buruk kepada agama Islam,” jelasnya.
Susulan itu, Fathul Bari sekali lagi mengulangi pendiriannya agar ahli jawatankuasa teknikal bebas bersama-sama pakar dalam bidang berkaitan menjelaskan kembali mengenai hukum ini sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya.
“Termasuk merujuk dan menyemak semula surat yang pernah dihantar Tun Mahathir kepada Allahyarham Nik Aziz suatu ketika dahulu yang mana beliau merujuk kepada pandangan pakar perlembagaan, Professor Dr Ahmad Ibrahim.
“Mereka perlu buat analisa semula bagaimana ingin merungkai kekangan yang ada ini dan bagi peluang kepada rakyat untuk memahami secara mendalam sebelum (hudud) dilaksanakan,” katanya.