Khamis, 26 Mac 2015
Respon Kepada Video Aisyah Tajuddin Permain Perlaksanaan Hudud di Kelantan
Respon saya terhadap "VIDEO SEORANG WANITA" mengkritik dan memperlekehkan isu perlaksanaan hudud di Kelantan yang tersebar di media sosial:
Islam adalah agama yang menyeru kepada keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi. Saya setuju keprihatinan saudari soal ekonomi, kebajikan, pentadbiran, gejala sosial dan lain-lain. Namun, adakah ia mengharuskan saudari membuat sindiran bagi pihak yang inginkan hudud? Seperti mana saya tidak bersetuju sekiranya ada pihak menyindir saudari kerana menyuarakan perkara-perkara di atas, saya juga tidak bersetuju gaya sindiran saudari ke atas mereka yang inginkan perlaksanaan hudud. Maka, harapan mereka (hudud) dan harapan saudari (ekonomi, pentadbiran dan lain-lain) sewajarnya saling melengkapi.
Yang membezakan antara pendirian saudari dan pendirian Kerajaan Kelantan hanyalah isu "PRIORITY" / KEUTAMAAN. Apa yang saya faham dari "statement" saudari, saudari meletakkan keutamaan pada isu-isu ekonomi, gejala sosial, pentadiran dan lain-lain. Namun, adakah saudari yakin bahawa Kerajaan Kelantan mengenepikan hal-hal yang saudari sebutkan kerana semata-mata ingin melaksanakn hudud? Sememangnya Islam tidak meletakkan HUDUD sebagai perkara yang PALING UTAMA. Namun, adakah mengharuskan mana-mana pihak untuk meng"hentam" kerajaan Kelantan atas usaha mereka?
Dan pada masa yang sama, kerajaan Kelantan juga harus menerima teguran-teguran positif yang berkait rapat soal ekonomi, sosial dan lain-lain. Keprihatinan umat Islam seluruh negara perlu diambil kira kerana ia akan membantu mengimbangi kestabilan duniawi dan ukhrawi di Kelantan.
Soal aurat walaupun ianya merupakan isu peribadi, saya berpendapat, tidak wajar saudari permainkan (seperti mana diawal video). Hukum aurat sangat jelas. Aurat bukan perlu dijaga di Kelantan sahaja. Bahkan sebagai muslim dan muslimah kita wajib menutup aurat. Dan sikap kerajaan kelantan yang melaksanakan kempen menutup aurat itu satu usaha yang sangat mulia. Dan apa kaitannya isu "aurat" dan "hudud"?
Walaupun secara peribadinya saya masih gusar tentang, kaedah perlaksanaan hudud di Kelantan, namun sebagai muslim sudah tentu saya tertunggu-tunggu untuk melihat kebaikan yang akan terhasil dari perlaksanaannya, mudah-mudahan, insyaAllah. Sebenarnya, perlu difahami, KPI hudud bukanlah diukur pada "OUTCOME"nya semata-mata; yakni berapa ramai jumlah yang "dipotong" tangannya, sebaliknya ia bergantung kepada keberhasilannya; yakni suasana yang aman, tenteram, kurangnya jenayah, peningkatan kesedaran, hak-hak manusia terjaga serta tuntutan maqasid syariah terpelihara.
Jadi, mohon semua pihak membantu Kerajaan Kelantan utk merealiasasikan perlaksanaan hudud, bukan mengugut dan mengutuk. Semoga ia dapat menjadi contoh bagi negeri-negeri lain. Ini bukan soal "siapa cepat dia menang", ini soal kemaslahatan umum yang perlu dinilai secara holistik.
Kepada kerajaan pusat dan ahli-ahli parlimen muslim; walaupun ada kekangan perlembagaan dan sistem perundangan negara, jangan kita politikkan isu hudud kerana ia memberi imej yang buruk kepada AGAMA.
Mohon "COMMITTEE BEBAS" yang ditubuhkan tahun lalu utk berbincang soal perlaksanaan hudud di Malaysia, BERSUARA. Pandangan kalian dalam isu hudud ini harus diketengahkan supaya masyarakat awam faham dan tidak dipengaruhi oleh sebarang sentimen politik murahan. Jangan biarkan rakyat menghukum sewenang-wenangnya kerajaan mahupun pembangkang dakam isu perlaksanaan hudud dalam negara. Bantu rakyat untuk mendapat penjelasan yang tuntas.
Wallaahualam.
Dr. Fathul Bari Mat Jahya
29 Jamadilakhir 1436 bersamaan 20 Mac 2015