Ahad, 6 September 2015

Baiah tidak boleh dibayar dengan kafarah, kata Haron Din

03-09-2015 01:09
Written By Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

SHAH ALAM: Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din hari ini menolak pendapat bahawa baiah dibuat oleh wakil rakyat PAS boleh ditebus dengan membayar kafarah seperti disebut oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam.

Haron berkata, baiah yang dibuat oleh kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS itu sebenarnya berbaiah dengan Allah SWT.

Sehubungan dengan itu, katanya tidak timbul soal membayar kafarah seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semalam.

"Yang pertama hendaklah terlebih dahulu memahami perkara-perkara yang boleh dibayar dengan kafarah dengan perkara-perakara yang yang tidak boleh dibayar kafarah.

"Yang boleh dibayar dengan kafarah itu ialah sumpah, melanggar sumpah dan perlu bayar kafarah," katanya.

"Yang mereka hadapi sekarang ini ialah apa yang mereka lakukan ialah baiah.

"Baiah tidak boleh bayar kafarah sebab jelas daripada ayat Allah SWT yang bermaksud sesungguhnya orang-orang yang berbaiah dengan kamu wahai Muhammad, mereka sebenarnya berbaiah dengan Allah," katanya kepada Antarapos.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Khalid Samad yang menyatakan wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah akan membayar kafarah yang sesuai sebagai 'denda' kerana melanggar baiah parti itu.

"Dari segi melanggar baiah ini ada kaedahnya, di mana ada kafarah yang perlu dibayar dan perkara ini akan saya lakukan dan akan diadakan sidang media mengenainya esok," katanya.

"Kafarah ini macam denda. Memang dalam syariat Islam ini ada …. yang membenarkan kita (yang) terpaksa melanggar sesuatu janji atas sebab-sebab tertentu, maka kita boleh membayar kafarah untuk menebus dosa atau pun kesalahan melanggar baiah ini," katanya.

Susulan kenyataan Khalid itu, Haron mengingatkan kesemua wakil rakyat PAS untuk merujuk kepada pihak yang mempunyai autoriti berhubung isu baiah yang mereka lafazkan.

"Maksud itu jelas, kalau mengkhianati baiah bermakna mereka mengkhianati Allah.

"Allah tidak perlu kepada kafarah, kerana itu maka terpulanglah kepada setiap-setiap orang ada pandangannya, ada perkara yang dia rasa boleh meyakinkan apa yang dia buat, akan tetapi saya menasihatkan hal-hal keagamaan khususnya baiah yang mengaitkan dengan talak isteri, rujuklah kepada orang yang autoriti," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli merujuk kepada bidang kuasa mahkamah syariah ekoran perjanjian baiahnya yang melibatkan talak tiga selepas melanggar bai'ah tersebut.

"Kalau (baiah-talak), itu adalah bidang kuasa mahkamah syariah, ada orangnya yang ada autoriti dan ada kuasa, bagi maksud kalau sudah ternyata hubungan suami isteri sudah terpisah disebabkan talak tiga, mereka tidak boleh lagi duduk serumah.

"Kalau berlaku juga, itu bidang kuasa penguatkuasaan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Haron mengingatkan Hatta supaya tidak menjadikan semua alasannya daripada ditegur oleh penguasa kerajaan atas sebab 'mengaturkan hidupnya'.

Beliau berkata, ini ekoran teguran Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob terhadap Hatta berhubung 'cerai talak tiga' adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pemimpin untuk menegur mana yang salah.

"Maknanya dia tidak mengakui adanya perintah Allah amar ma'ruf dan nahi munkar.

"Amar ma'ruf itu memanglah kita perlu ambil tahu, dan nahi munkar pula kepada semua orang dan masyarakat dan yang memberi komen kepada sahabat kita Dr. Hatta Ramli itu ialah penguasa, seorang menteri besar, ketua kerajaan, jadi memang tanggungjawab dia untuk mengekalkan yang amar ma'ruf dan menghapuskan yang mungkar," tambahnya.

Malah beliau mengingatkan Hatta supaya memahami semula perkara-perkara 'fahishah' (perbuatan yang keji).

"Kalau sudah diputuskan atau dinyatakan dengan jelas oleh ketua hakim syarie bahawa perkahwinannya telah terlerai atau pun tertalak, maka hubungan yang berlaku selepas itu adalah perkara yang 'fahishah'," katanya.

"(Fahishah) adalah yang wajib dicegah, maka itu adalah kewajipan mereka (menteri besar Kelantan) mencegah dan memanglah mencegah itu ialah perlu ambil tahu hal orang lain.

"Pertama sekali ialah pemerintah," katanya.

Haron turut memberikan contoh dalam al-Quran turut memperincikan perkara-perkara baiah yang perlu diikuti oleh mereka yang berbaiah.

"Sesungguhnya sesiapa yang mengkhianati baiahnya, maka dia sebenarnya mengkhianati dirinya sendiri.

"Sesiapa yang menyempurnakan baiahnya, maka Allah akan menganjarkannya dengan pahala yang besar," katanya.

"Jadi sepanjang cerita tentang baiah dalam al-Quran tidak ada yang dipanggilkan kafarah. Yang ada, yang besarnya, dia berbaiah dengan Allah, dia menunaikan baiah itu dia akan dapat pahala dan jika dia mengkhianatinya, dia khianat diri dia sendiri.

"Jadi itu sudah lebih daripada cukup untuk buat pengajaran," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Haron turut meminta supaya semua wakil rakyat tersebut tidak mencari alasan untuk mereka menghalalkan cara dan membolehkan mereka mengkhianati baiah yang sudah dilafazkannya bersama PAS.

"Berilah apa alasan pun yang boleh kita mereka begitu banyak alasan, tetapi tanyalah hati kecil sendiri dan tanya iman, apakah yang mereka buat itu diredhai oleh Allah atau tidak.

"Kalau mereka jawab redha takper, silakan, tidak ada masalah tetapi tanyalah orang yang jujur dan memberi pandangan dan nasihat yang berguna untuk kebaikan dunia dan akhirat...untuk kebaikan dunia dan akhirat...perlu bersandar kepada hujah-hujah syarak bukan semata-mata hujah akal," katanya.

Semalam, Khalid memberitahu berkemungkinan semua wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah akan membayar kafarah sebagai denda kepada pelanggaran baiah itu.

Selain Khalid, Ahli Parlimen PAS yang menyertai Amanah ialah Datuk Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Hanipa Maidin (Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).

Turut berbuat demikian adalah lima ADUN PAS iaitu Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan