Rabu, 2 September 2015

Beranikah Parti Amanah Rakyat (GHB) Memperjuangkan Hudud Tanpa Persetujuan DAP?

Pada awal penubuhannya DAP (Parti menafikan penglibatan mereka dalam GHB yang mana telah memecahkan kekuatan PAS dengan adanya “duri Dalam Daging” di dalam parti yang selama ini konsisten berjuang atas nama Islam.



Secara terang dan jelas kumpulan serpihan PAS Gerakan Harapan Baru (GHB) telah membuka pintunya untuk ahli bukan Islam dan telah mengistiharkan menolak Hudud sebagai agenda perjuangan dan bersedia bersama DAP.

Tindakan ini telah memberikan kekuatan DAP dalam meraih undi dari kaum Melayu yang mana selama ini amat kuat untuk dipecahkan. Namun semua itu tinggal kenangan silam di mana kekuatan tersebut telah diulit dengan perasaan bermusuhan sesama sendiri.

Membuka keahlian kepada bukan Melayu adalah satu pendekatan yang menyamai DAP di mana komposisi penyertaan ahli berbilang kaum dalam sebuah parti walaupun pada dasarnya ianya berteraskan Islam.

Cara ini , seperti yang telah di perkatakan sejak dahulu lagi oleh Allahyarham Nik Aziz di mana perjuangan PAS adalah berteraskan Islam dan dalam pada masa yang sama menggunakan hudud sebagai senjata untuk menolak UMNO yang dikatakan menolak Islam.

GHB dikatakan sebagai pelengkap kepada Pakatan Rakyat yang baru dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang. Sudah tentunya GHB (Parti Amanah Rakyat) akan bersama DAP dan pecahan sokongan ahli PAS akan berkurangan.

Dalam hal yang lain mampukah PAS bertahan dengan kewujudan GHB untuk bersaing dalam politik terutama dalam PRU akan datang.

PAS seharusnya keluar dari pakatan dan memulakan perjuangan bersama UMNO untuk mendaulatkan Melayu, Islam dalam negara ini.

UMNO juga adalah sebuah parti yang selama ini memperjuangkan Melayu Islam sebagaimana yang telah dilakukan oleh parti Chauvanis memperjuangkan budaya , bangsa dan hak hak kepentingan bangsa mereka.

Mengapa tidak jika PAS bersama UMNO untuk memperjuangkan perkara yang sama. Jika difikirkan secara mendalam cara ini lebih mudah untuk PAS dan UMNO buat keputusan penting, dan kita rasakan perlu diisi dalam kelompangan untuk memperkukuh kan atau membina kembali perpaduan Melayu yang telah lama dipecahkan dengan taburan fitnah pembangkang.

Pemimpin progresif dalam GHB (Parti Amanah Rakyat) telah mengambil satu langkah berani dengan membenarkan orang bukan Islam menjadi ahli parti yang akan berteraskan Islam ini. GHB (Parti Amanah Rakyat) telah melihat bahawa perjuangan DAP adalah satu kaedah untuk meraih sokongan dan menolak apa yang dipanggil rasis kepada UMNO yang hanya terdiri dari kelompok Melayu sahaja.

Perlu diingat bahawa ramai orang bukan Islam yang menyokong dan berkempen untuk PAS pada PRU ke-13 merasa marah dan di khianati, apabila parti itu secara agresif mengusahakan pelaksanaan hudud versinya. Ia turut membuatkan komponen Pakatan Rakyat yang lain merasa kecewa.

Isu hudud menjadi faktor utama yang mengeruhkan hubungan antara PAS dan DAP, dan akhirnya menyumbang kepada perpecahan pakatan pembangkang.

Jadi apakah yang berbeza pada kali ini? Hudud bukan lagi agenda perjuangan GHB (Parti Amanah Rakyat), malah mereka lebih liberal dalam mempromosi kan GHB dengan lebih terbuka kepada semua pihak.

GHB telah mempertahan kan hak untuk berusaha melaksana kan hudud, namun berkata bahawa ia tidak menjadi keutamaan mereka pada masa ini. Keutamaan mereka adalah membina kembali “demokrasi yang kukuh” di Malaysia.

Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, walaupun hudud ada peranan yang penting, ia tidak boleh menjadi pertimbangan sebelum wujudnya kerajaan yang baik dan telus.

Persoalan yang timbul di sini, apakah hudud juga akan digunakan sebagai senjata untuk meraih sokongan oleh GHB (Parti Amanah Rakyat) ? Secara peribadinya penulis mengatakan bahawa , sudah pastinya hudud akan digunakan . Bagi penyokong Melayu, sesuatu perkara yang melibatkan Islam pastinya akan di pertahankan dan akan menolak jika ada pihak yang menentangnya.

GHB akan “meyakinkan” rakan-rakannya agar memberi peluang kepada undang-undang jenayah Islam itu – bukan sahaja kerana ia adalah arahan Tuhan, tetapi ada bukti perbandingan yang meyakinkan di luar negara, menunjukkan sebahagian aspek hudud lebih berkesan dalam menangani dan mengurang kan jenayah seperti kecurian dan rompakan.

Tetapi apa yang amat pelik bagi GHB mahu juga PAS, EJS1993(11) telah pun diluluskan di Kelantan sebagai enakmen jenayah syariah yang telah boleh dikuat kuasakan, namun sehingga kini enakmen tersebut masih lagi belum di laksanakan, Mengapa?

Pandangan penulis GHB akan menggunakan pandangan yang sama juga serta alasan- alasan dan akan menyalahkan UMNO sebagai penghalang perlaksanaannya, tetapi bukan DAP yang secara terangan menolak sehingga berlakunya perdebatan isu pelaksanaan hudud dalam pakatan.

Dzulkefly sekali lagi menekankan bahawa pada dasarnya GHB (Parti Amanah Rakyat) tidak akan mengabaikan hudud secara sekaligus, tumpuan utamanya adalah kepada aspek tadbir urus yang baik. Apakah maksudnya ini? Ini adalah bermakna bahawa GHB (Parti Amanah Rakyat) akan menggunakan hudud sebagai senjata dan bukan sebagai agenda teratas sekali dalam perjuangan kepartian.

Nampaknya walaupun hudud bukanlah keutamaan GHB (Parti Amanah Rakyat), ia sama sekali tidak terkeluar daripada gambaran. Dengan perkiraan itu, bagaimana GHB (Parti Amanah Rakyat) benar-benar berharap dapat menarik orang bukan Islam, terutama yang telah menyokong dan mengundi PAS pada PRU ke-13? Sedangkan isu hudud ditentang secara hebat oleh DAP?

Sekali tersengat, selalu beringat. Bukankah begitu? Pimpinan GHB (Parti Amanah Rakyat) tidak boleh membuat tafsiran salah terhadap keinginan pengundi bukan Islam. Orang bukan Islam yang menyokong pembangkang bukan mahukan versi PAS yang ‘lebih baik’ semata-mata. Mereka mahukan parti yang mempunyai visi yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan rangka dasar bersama yang di persetujui setiap parti rakan.

Hudud adalah isu yang mencetuskan pertelagahan di Malaysia. Ia boleh sahaja membuatkan rakyat berpecah. Ia telah menjadi kata putus buat Pakatan Rakyat, dan pasti juga buat gabungan pembangkang yang baru nanti.

Kita tidak boleh ada gabungan – di mana-mana pihak politik pun – yang mendendangkan nada yang berbeza bergantung kepada pendengar mereka. Setiap gabungan atau parti perlu jelas, tegas dan bersatu dalam visi mereka untuk negara, walaupun apa sahaja visi tersebut.

Dalam konteks ini, DAP dan PKR mempunyai tanggung jawab besar terhadap penyokong dan pengundi mereka untuk memastikan gabungan baru bersama GHB(Parti Amanah Rakyat) bukan setakat kitar semula Pakatan Rakyat.

GHB (Parti Amanah Rakyat) pula perlu meyakinkan penyokongnya bahawa DAP dan PKR sanggup untuk bersikap terbuka terhadap kemungkinan menyokong agenda mereka yang berdasarkan prinsip Islam, termasuklah hudud.

Semua parti perlu menuruti rangka dasar bersama dan perlu jelas sama ada hudud sebahagian daripada visi bersama atau tidak. Secara jelasnya GHB bukan berhak menentukan agenda perjuangan mereka dalam kelompok DAP, malahan DAP lebih berkuasa untuk menentukan segalanya.

Hanya masa yang akan menentukannya.
Redzuan