Khamis, 10 September 2015

DULU AKUR, SEKARANG TAK AKUR

ARKIB : 15/11/2009

Khalid akur keputusan



Oleh ABDUL YAZID ALIAS

pengarang@utusan.com.my



SHAH ALAM 14 Nov. - Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad akur terhadap keputusan kepimpinan Pusat parti itu supaya menghentikan amalan bai'ah talak tiga terhadap isteri yang didedahkan oleh beliau sebelum ini.


Sambil menyifatkannya sebagai keputusan sebulat suara jawatankuasa tertinggi Pas Pusat, beliau berkata, ketetapan itu perlu dipatuhi semua pemimpin parti itu di Selangor.


"Saya akur dengan keputusan ini (tolak bai'ah talak tiga). Tidak ada masalah.


"Kalau kepimpinan Pas Pusat mahu kita amalkan bai'ah rasmi (laknat Allah), kita ikut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang mengarahkan amalan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga sebagai tanda kesetiaan kepada parti itu dihentikan serta-merta.


Menurut Mustafa, amalan bai'ah sedemikian tidak pernah wujud dalam Pas kecuali bai'ah laknat Allah yang merupakan sumpah rasmi terhadap pemimpin parti yang menjadi calon pilihan raya.


Isu bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga tercetus apabila Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mendedahkan wujud amalan sedemikian di kalangan pemimpin Pas Selangor bagi memastikan mereka tidak keluar parti.


Bagaimanapun amalan tersebut menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang menyifatkannya bertentangan dengan hukum syarak selain disifatkan sebagai satu penganiayaan terhadap wanita.


Ditanya sama ada pendedahan tersebut mempunyai motif tertentu, Khalid berkata, beliau tidak mempunyai sebarang agenda terhadap perkara itu.


Katanya, isu tersebut timbul setelah beliau membaca beberapa laporan menerusi laman-laman blog mengenai amalan sedemikian yang wujud dalam Pas.


Bagaimanapun beliau tidak menamakan laman blog berkenaan.


"Tidak ada motif lain sebenarnya. Saya hanya memberi komen dan ulasan mengenai bai'ah itu setelah membaca beberapa artikel yang disiarkan menerusi laman-laman blog," jelasnya.





Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm#ixzz3lLno9mJe
© Utusan Melayu (M) Bhd