Khamis, 15 Oktober 2015

KENYATAAN AKHBAR BERKAITAN KEPUTUSAN UNTUK MENUTUP SIASATAN BANK NEGARA MALAYSIA TERHADAP 1MDB

Kesalahan yang didakwa telah disiasat oleh Bank Negara Malaysia mengikut perenggan (4) (b) Bahagian 1 Jadual 5 Akta Kawalan Tukaran 1953 iaitu dengan sengaja atau dengan melulu membuat kenyataan yang palsu. Pendek kata kenyataan yang dibuat haruslah palsu dan bahan yang berkaitan dengan hal berkenaan iaitu maklumat yang diminta oleh Bank Negara Malaysia untuk permohonan penghantaran wang dilakukan dan maklum balas berkenaan maklumat seperti yang diminta oleh Bank Negara Malaysia.

1MDB mendapat tiga kebenaran daripada Bank Negara Malaysia untuk membuat pemindahan wang, iaitu pada,

(1) 29 September 2009,

(2) 6 September 2010, dan

(3) 20 Mei 2011.

Ia menyatakan bahawa Bank Negara Malaysia tidak mengambil lebih daripada tiga hari untuk memberi kebenaran berhubung pemindahan wang tersebut.

Ia juga menyatakan bahawa borang permohonan ECM yang berkaitan iaitu borang 09A dan borang 06B tidak memerlukan pemohon untuk memberi nama penerima atau akaun nombor bank dan cara bagaimana wang itu disalurkan .

Apabila 1MDB meminta Deutsche Bank (Malaysia) Berhad untuk membuat kiriman wang ke akaun lain, Deutsche Bank (Malaysia) Berhad meminta penjelasan daripada Bank Negara Malaysia dan Bank Negara Malaysia bertindak balas dengan menasihati Deutsche Bank (Malaysia) Berhad yang ia merupakan keputusan berkaitan perniagaan selagi ia tidak terpesong dari matlamat asal dan tiada persoalan yang dikemukan oleh Bank Negara Malaysia pada masa itu.

Bank Negara Malaysia sebagai pengawal aliran wang tidak menghalang proses pemindahan wang atau mengarahkan Deutsche Bank (Malaysia) Berhad  untuk menasihati 1MDB agar hadir ke Bank Negara Malaysia dan melakukan semakan semula berkenaan dengan pemindahan wang tersebut. Jelas tidak ada maklumat atau maklumat lanjut seperti yang diminta oleh Bank Negara Malaysia pada masa berkenaan. 1MDB memegang tanggungnawab untuk menyediakan sebarang keperluan untuk proses pemindahan tersebut.

Borang-borang yang berkaitan dengan proses pemindahan wang dalam kes ini tidak mewajibkan pemohon untuk menyatakan nombor akaun bank dan nama penerima yang sama seperti dalam pemindahan wang biasa yang akan membolehkan Bank Negara Malaysia  mengetahui ke mana dana itu telah disalurkan. Oleh kerana tiada keperluan untuk melakukan yang sedemikian, tindakan beberapa pegawai 1MDB berkenaan tidak menjadi satu kesalahan di bawah Akta.

1MDB lebih memberi perhatian terhadap keperluan pihak mereka untuk melengkapkan borang-borang berkenaan dan menjawab persoalan-persoalan yang diajukan oleh Bank Negara Malaysia. Jika Bank Negara Malaysia tidak meminta maklumat tertentu atau khusus bagaimana boleh 1MDB disalahkan kerana ia telah mengisi borang yang diperlukan dan memberi maklum balas kepada pertanyaan yang dibuat.

Pegawai rasmi 1MDB yang terlibat sepanjang proses untuk mendapatkan kebenaran telah mematuhi arahan yang diberikan. Oleh yang demikian, pihak BNM telah meluluskan kebenaran tersebut. Sehingga bukti baru mengenai kesalahan yang didakwa diperolehi, sehingga itu  pegawai-pegawai berkenaan tidak bersalah.

Bank Negara Malaysia bagaimanapun melalui suratnya bertarikh 1 Oktober 2015 meminta untuk dibuat semakan semula keputusan itu memetik kesalahan di pihak 1MDB iaitu tidak mendedahkan maklumat tertentu. Setakat yang bersangkutan, tidak ada kewajipan untuk dimaklumkan mengenai sesuatu maklumat itu kecuali diminta. Atas sebab ini dan hakikat bahawa tidak ada bukti baru yang disediakan, pihak kami tidak melihat sebarang keperluan untuk mengkaji semula dakwaan tersebut.

JABATAN PEGUAM NEGARA MALAYSIA
13 Oktober 2015