Selasa, 8 Mac 2016

Usaha Jatuhkan PM Bercanggah Dengan Amalan Demokrasi

Sebarang usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak sihat kerana ia bercanggah dengan demokrasi yang kita amalkan selama ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan sebagai negarawan atau ahli politik yang sudah lama (berpengalaman), mereka (yang melakukan usaha itu) seharusnya membuat keputusan yang tidak ditempelak masyarakat.

“Tunggulah tidak lama lagi, dua tahun sahaja akan ada pilihan raya…Tak kan tak boleh sabar,” kata Mohamad yang jelas ditujukan kepada kumpulan yang melancarkan gagasan menuntut Najib berundur.

“Kita percaya rakyat Malaysia mempunyai pelajaran dan jangan dihina kepintaran rakyat.

“Saya lihat mereka yang buat gagasan ada kepentingan peribadi…Jangan kerana itu sampai heret rakyat terjerumus dalam politik tidak sihat,” katanya.

Mohamad bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan DUN Rantau 2016 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik 2015.

Beliau diminta mengulas kerjasama beberapa anggota UMNO dengan pembangkang yang menandatangani pada Jumaat lepas ‘Deklarasi Mahathir’ yang antara lain mahu Najib berundur.

Justeru, Mohamad menegaskan UMNO Negeri Sembilan, Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) dan wakil rakyat Negeri Sembilan sebulat suara menyokong kepimpinan Perdana Menteri.

Beliau juga berharap agar semua ahli UMNO dan parti komponen BN mengambil iktibar dari gagasan itu supaya mereka bekerja lebih kuat lagi untuk mempertahankan UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Mohamad berkata pemimpin UMNO yang bersekongkol dengan pembangkang diminta agar memikirkan semula keanggotaan mereka dalam parti.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata selaras dengan pertambahan penduduk di Bandar Sendayan, sebuah lagi blok sekolah akan dibina di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan dengan kos sebanyak RM7.2 juta.

“Untuk masa ini sekolah menegah bagi DUN Rantau mencukupi tetapi kita telah dapat kelulusan daripada Kementeeian Pelajaran untuk bina satu blok di sekolah ini kerana pertambahan penduduk yang mendadak.

“Selain itu, kita juga akan buat permohonan untuk bina sekolah rendah di kawasan Sendayan ini lagi supaya tidak ada sekolah yang tiada bilik darjah dan sekaligus dapat mengurangkan dua sesi persekolahan iaitu pagi dan petang,” katanya.