Selasa, 26 April 2016

#PRNSARAWAK: Pembangkang terdesak jadikan isu hospital modal politik

KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menafikan kelewatan pembinaan Hospital Sri Aman yang baharu disengajakan seperti didakwa pembangkang.

Katanya pelaksanaan projek bernilai kira-kira RM200 juta itu dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pemendapan tanah dan pembinaan bangunan.

“Proses pemendapan tanah perlu dilakukan sebelum pembinaan bangunan dimulakan kerana tapak yang seluas 20.6 hektar di Jalan Kejatau merupakan tanah gambut dan masa panjang diperlukan bagi memastikan tapak mendap sepenuhnya.

“Saya difahamkan kerja-kerja pemendapan sudah selesai dan kini kerja fasa kedua sedang dilaksana dan siap sepenuhnya 2018,” katanya kepada pemberita semalam.

Terdahalu beliau menghadiri Majlis Perasmian Persiapan Jentera Pilihan Raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sri Aman yang dirasmikan Timbalan Presiden PBB merangkap Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di ibu pejabat PBB dekat sini, semalam.

Rohani yang juga naib ketua Wanita PBB berkata pembangunan Hospital Sri Aman baharu itu merupakan projek utama dan sesuatu yang amat diharapkan penduduk di bahagian tersebut.

“Hospital baharu Sri Aman memang menjadi isu penduduk tempatan, projek yang dinanti-nantikan kerana ia berkonsep moden bagi menggantikan hospital sedia ada.

“Hospital sedia ada sudah begitu lama, dengan masalah katil tidak mencukupi dan ketiadaan perkhidmatan doktor pakar,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai projek pembangunan mega di Sri Aman, Rohani yang juga Ahli Parliman Batang Lupar berkata kini usaha giat dilakukan bagi menyiapkan sistem perparitan dan tali air di jelapang padi Stumbin/Lingga/Banting.

Beliau berkata jelapang padi itu adalah yang pertama di luar Semenanjung Malaysia dengan keluasan 5,100 hektar.

“Apabila semua infrastruktur termasuk tali air siap nanti, penanaman padi akan dimulakan melibatkan penduduk setempat,” katanya sambil menambah, projek itu diyakini memberi manfaat kepada peserta dan Sarawak amnya dalam pengeluaran beras bagi kenggunaan domestik.



Read more: http://www.theborneopost.com/2016/04/20/kelewatan-pembinaan-hospital-sri-aman-bukan-disengajakan/#ixzz46uyM41Ld