Selasa, 26 April 2016

#PRNSarawak: FAKTA DAN KRONOLOGI PROSES PERUNDINGAN KERUSI PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK DI ANTARA DAP DAN PKR

Kenyataan sidang media oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook pada 26 April 2016 di Ibupejabat Kebangsaan DAP, Kuala Lumpur.

 

19 Februari 2016

Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi 2-pihak PKR-DAP yang terdiri daripada Tony Pua, Chong Chieng Jen, Teresa Kok (DAP) dan Tian Chua, Baru Bian, See Chee How (PKR) memutuskan untuk melantik Merdeka Center untuk menjalankan kaji selidik untuk melihat parti mana yang lebih sesuai bertanding di kawasan-kawasan yang bertindih. 6 kerusi dipilih dalam projek tersebut iaitu Batu Kitang, Senadin, Simanggang, Tasik Biru, Mambong dan Bukit Semuja. Kos sebanyak RM100,000 ditanggung sama rata di antara 2 parti.

7 Mac 2016

Majlis Presiden Pakatan Harapan bermesyuarat dan memutuskan untuk memberi tempoh masa sehingga pertengahan bulan Mac kepada Jawatankuasa rundjingan PKR-DAP untuk menyelesaikan proses rundingan dan selepas itu, keputusan terakhir perlu dibuat bersama oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

23 Mac 2016

Jawatankuasa rundingan PKR-DAP bermesyuarat untuk kali terakhir dan berjaya mengurangkan kerusi yang bertindih dari 15 ke 11 kerusi. 11 kerusi tersebut ialah Batu Kitang, Senadin, Simanggang, Tasik Biru, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah, Machan, Mulu, Marudi dan Layar.

31 Mac 2016

Semua keputusan kaji selidik Merdeka Center untuk 6 kerusi diserahkan kepada pihak PKR dan DAP. Kesimpulan daripada Merdeka Center menunjukkan bahawa DAP mempunyai kelebihan berbanding PKR dalam 5 daripada 6 kerusi tersebut. PKR hanya mempunyai kelebihan untuk kerusi Mambong.

7 April 2016

Pertemuan di antara Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali di Pejabat Ketua Pembangkang Parlimen. Turut hadir ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah dan saya selaku Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP. Walaupun keputusan kaji selidik Merdeka Center berpihak kepada DAP, pihak kami menawarkan "package deal" kepada PKR dengan mencadangkan formula 3:8 iaitu DAP menyerahkan kerusi Batu Kitang (kerusi yang paling winnable), Marudi dan Machan kepada PKR dan DAP bertanding di 8 kerusi yang lain.

Datuk Seri Azmin Ali meminta supaya DAP "concede" satu atau dua kerusi lagi. Lim Guan Eng bersetuju supaya kerusi Layar juga ditandingi oleh PKR tetapi dengan syarat kerusi Murum diserah balik kepada DAP dan PKR bertanding di kerusi Belaga.

Maka, pada hari tersebut, persetujuan akhir sebenarnya telah dicapai oleh pimpinan tertinggi DAP dan PKR mengenai kerusi-kerusi bertindih. Kedua-dua pemimpin menandatangani satu nota bertulis yang menyenaraikan kerusi-kerusi yang dipersetujui untuk ditandingi oleh kedua-dua parti iaitu DAP akan bertanding di 8 kerusi (Senadin, Mulu, Murum, Ngemah, Mambong, Tasik Biru, Simanggang dan Bukit Semuja) manakala PKR pula akan bertanding di 5 kerusi (Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga).

Pihak PKR berjanji akan memberikan "final confirmation" dalam masa 24 jam.

11 April 2016

Lim Guan Eng dan Datuk Seri Azmin Ali berjumpa di Ibupejabat PKR sebelum mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan. Pertemuan tersebut juga dihadiri Datuk Seri Wan Azizah, Nurul Izzah dan saya. Pihak PKR meminta "swapping" 2 kerusi yang telah dipersetujui untuk ditandingi oleh DAP iaitu Mambong dengan Tarat dan Mulu dengan Marudi.

Pihak DAP menegaskan sekiranya ada permintaan untuk membuka semula rundingan, maka DAP Sarawak akan meminta untuk merundingkan semula kerusi Batu Kitang. Justeru itu, tidak ada apa-apa perubahan dibuat terhadap persetujuan yang dicapai pada 7 April yang lalu.

Dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Wan Azizah telah mengesahkan bahawa DAP dan PKR telah mencapai persetujuan untuk 1 lawan 1 dalam semua kerusi yang terlibat.

 

Maka, DAP berpegang kepada perjanjian yang telah dicapai dengan pimpinan tertinggi PKR pada 7 dan 11 April dan tidak mahu membuat sebarang perubahan saat akhir kerana kami tidak mahu calon-calon kami memasuki gelanggang dalam keadaan tanpa persediaan yang mencukupi. Kami amat kesal dengan tindakan PKR Sarawak yang tidak menghormati keputusan yang telah dicapai oleh pimpinan tertinggi kedua-dua parti dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan yang sebenarnya merupakan satu keputusan "menang-menang" untuk PKR dan DAP.

Tujuan saya untuk menerangkan segala fakta dan kronologi proses perundingan di antara PKR dan DAP ialah supaya rakyat terutamanya penyokong-penyokong Pakatan Harapan mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan biarlah rakyat menjadi juri siapa yang patut dipertanggungjawabkan dalam keadaan hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan