YB Howard Lee
ADUN Pasir Pinji
Pakan, 25 April – Budaya perarakan mengelilingi kawasan Pakan yang dianjurkan oleh Barisan Nasional telah pun berlaku di luar jangkaan dan pemikiran kita. Perarakan Barisan Nasional yang disertai oleh anak-anak muda kelihatan sangat tidak bertamadun di mana mereka dengan sesuka hati menunggang motosikal secara berbahaya sewaktu berkempen. Mereka gagal untuk memakai helmet keselamatan. Mereka juga tidak berhenti-henti membunyikan hon motosikal untuk menyalurkan tindakan provokasi yang melampau dan tidak bertamadun. Hal yang demikian bukan sahaja dianggap sebagai provokasi kepada pihak lawan yang bertanding, tetapi ia juga sebenarnya menggugat keselamatan orang awam secara umum. Orang-orang tua dan kanak-kanak yang mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat kempen telah pun diancam keselamatannya.
Tidak dapat dinafikan, para penyokong mempunyai hak untuk berkempen terhadap parti sanjungan mereka, namun ia tidak semestinya datang dalam pakej untuk mencabar dan menggugat keselamatan pihak-pihak lain yang terlibat. Pihak keselamatan yang ditugaskan untuk menjaga keamanan juga kelihatan kurang berkesan untuk bertindak dalam konteks terkawal.
Lebih membimbangkan, perarakan motosikal Barisan Nasional ini dengan bangganya diteruskan oleh aktiviti menikmati air tin arak di kawasan terbuka yang dilihat oleh masyarakat pelbagai lapisan termasuk kanak-kanak kecil dan polis. Anak-anak muda remaja ini dengan rasa tidak malunya menghayun-hayunkan air tin arak yang dibuka. Kempen pilihanraya telah bertukar menjadi pesta arak.
Berkempen menggunakan motosikal bukanlah suatu kesalahan pada asasnya, tetapi tindakan memperguna anak-anak muda untuk tujuan politik adalah sesuatu yang salah. Barisan Nasional yang memayungi anak-anak muda ini kelihatan seperti gagal berfungsi untuk membentuk lapisan generasi baharu yang bersopan santun. Kegagalan untuk berkempen secara matang secara terang-terang menunjukkan kegagalan untuk berbudaya.
Kami menggesa supaya calon-calon Barisan Nasional kawasan Pakan, Tan Sri William Mawan bersama-sama kami di pihak calon tempatan DAP, Rinda Alexander untuk mengecam tindakan berkempen seperti ini.