Ahad, 22 Mei 2016

TPM - PERTAHAN KEKUATAN, KESUCIAN ISLAM DENGAN KESATUAN UMMAT


Mei 21, 2016 
Ditulis oleh Berita RTM Published in Berita Semasa

Putrajaya  - Kekuatan dan kesucian agama Islam yang sering dicemburui, perlu dipertahankan dengan kesatuan ummatnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata dalam mendepani cabaran itu, perkara utama yang perlu dilakukan ialah mengetepikan setiap perkara buruk atau cabang perbezaan termasuk ideologi dan pegangan politik.

"Setiap gerakan ke arah menyatukan umat Islam adalah baik tetapi kita sedar di luar sana ramai yang cemburu dengan kekuatan Islam dan kesatuan yang dibina.

"Mereka tidak mahu umat Islam bersatu tetapi ingin melihat Islam itu berpecah-belah umpama buih-buih yang mudah terpisah dan dipisahkan," katanya semasa berucap merasmikan Zikir Perdana Sedunia bersempena malam Nisfu Syaaban di Masjid Putra.

Bertemakan 'Islam itu Kedamaian', majlis itu dianjurkan Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama). Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Presiden Pertama Datuk As'ari Ibrahim.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata biar pun berdepan cabaran, beliau yakin kekuatan Islam di Malaysia terus terpelihara selagi Islam dijulang dan dijadikan sebagai ad-din atau pegangan hidup.


Sent from Samsung tablet.