Jumaat, 26 Ogos 2016

DAP Paling Ceria, PAN raih keuntungan

Tidak lama lagi, jika diizinkan Allah, maka akan lahirlah sebuah lagi parti baru serpihan bangsa Melayu yang asalnya dari UMNO. Selepas Parti Negara, Semangat 46 dan PKR, parti baru yang berteraskan 'bunga raya' sedang menanti kelulusan dari ROS untuk disahkan sebagai parti politik di negara kita.

Seperti yang kita maklum, parti baru tersebut bakal diketuai oleh bekas-bekas pemimpin UMNO sendiri. Alasan mereka menubuhkan parti baru itu adalah untuk menewaskan UMNO pada PRU ke-14, walaupun sebelum itu mereka mendakwa hanya mahu menjatuhkan Presiden parti, Dato' Seri Najib Tun Razak sahaja.

Pada pandangan penulis, ia hanya sekadar alasan saja. Yang jelas dari tindakan mereka adalah mereka gagal menjatuhkan Najib dari dalam parti seperti yang pernah dilakukan terhadap Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Maka kerana itu mereka sengaja mencari 'pasal' untuk dipecat dari parti dan menyalahkan kepimpinan UMNO setelah dipecat. Gagal menjatuhkan Najib dari dalam parti membuatkan maruah dan ego mereka tercabar. Lantas berlakulah senario 'marahkan nyamuk, maka kelambu dibakar'.

Pada penulis, hakikat yang mungkin mereka tidak beritahu pada jutaan ahli UMNO adalah 'mereka mahu jadi Presiden UMNO, sekaligus menjadi Perdana Menteri'. Maka semua peluru digunakan untuk menyerang Najib, hatta 'peluru kosong' pun terpaksa digunakan. Malangnya, semua 'peluru kosong' itu tidak berkesan.

Persoalannya, siapakah yang paling gembira dan menyokong pepecahan bangsa ini? Pada pandangan penulis, yang paling gembira sudah tentulah pihak pembangkang terutama DAP. Parti baru itu sudah tentu akan mendapat sokongan padu dari mereka.

Diapi-apikan parti baru itu, diberikan publisiti meluas dan pemimpin-pemimpin parti baru itu pastinya ditatang bagai minyak yang penuh. Jika boleh, mereka mahu parti baru itu menyerang UMNO siang dan malam hingga ke PRU ke-14.

Mereka tidak rugi apa-apa. Kita pun tahu betapa DAP, PKR dan pembangkang lain memusuhi Mahathir sebelum ini. Apa yang Mahathir tidak pernah lakukan pada mereka. Bukan hanya menghina, malah sumbat mereka ke penjara pun pernah dilakukan.

Namun semua itu tidak penting sekarang dan disimpan dalam hati saja. Asalkan Mahathir dan konco-konconya tidak menyerang pembangkang, sebaliknya menyerang parti tunjang BN, mereka akan bertepuk tangan, gembira bukan kepalang.

Pembangkang tahu bahawa parti baru tidak kuat seperti mereka dan terlalu mustahil untuk menguasai Parlimen. Sedangkan jika dirujuk pada PRU ke-13 dulu, statistik membuktikan DAP paling tinggi peratusan menang bertanding di peringkat Parlimen.

Apatah lagi sekarang sedang kecoh diperkatakan tiada sebab untuk menjadikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Ketua Pembangkang, maka sudah tentu peluang untuk parti baru menjadi Perdana Menteri adalah sangat tipis. Jawatan Timbalan Menteri pun sudah cukup bagus jika diberi pada mereka nanti.

Cuba lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang. Cuba lihat kedudukan PAS yang teruk bekerja untuk memastikan DAP menang di negeri itu. PKR pula hanya bagai 'melukut ditepi gantang', bangkang sikit maka siap sedialah untuk 'dianak tiri' bagaikan musuh.

Maka kerana itulah penulis yakin bahawa pihak yang paling untung dari pepecahan bangsa Melayu dan penubuhan parti baru itu adalah DAP. Parti pembangkang lain hanya 'menurut perintah' saja, tidak lebih dari itu.

Namun sedarkah orang-orang Melayu yang memecah-belahkan itu? Bila dikatakan mereka hanya memperjuang kepentingan politik diri sendiri, mereka enggan bersetuju. Tapi jika dilihat pada tindakan politik mereka, memang itu yang berlaku…

Cenderawasih