Khamis, 6 Oktober 2016

Kuala Lumpur bandaraya pilihan pelancong



5 OKTOBER 2016

Semasa membaca pada hujung minggu lepas, satu berita yang menarik perhatian saya ialah mengenai laporan Indeks Bandar Destinasi Global (GDCI) 2016 yang dikeluarkan Mastercard.

Laporan itu memberikan kedudukan kepada 132 bandar utama di seluruh negara. Saya gembira apabila laporan itu menyebut Kuala Lumpur adalah antara bandar paling ramai pengunjung di dunia, di tempat ke-7 dengan jumlah pengunjung melebihi 12 juta orang, lebih ramai berbanding bandar-bandar besar seperti Tokyo, Seoul, Hong Kong, Milan dan banyak lagi.

Selain itu, sejak laporan ini dikeluarkan, kedudukan Kuala Lumpur meningkat naik secara progresif saban tahun, misalnya pada tahun 2011 kita di tangga ke-14, tahun lalu di tangga ke-8, dan tahun ini naik  tempat ke-7, dengan kenaikan pengunjung sebanyak 7.4%. Laporan sama turut menyebut bahawa 26.8% daripada pengunjung ke Malaysia datang atas urusan bisnes, manakala baki 73.2% untuk bercuti.

Ini adalah bukti daya tarik dan keistimewaan Malaysia. Sebuah negara berbilang kaum, kaya dengan tradisi dan budaya, keistimewaan flora dan fauna dan banyak lagi. Kita juga sebuah negara mesra-perniagaan, destinasi pilihan para pelabur antarabangsa.

Malah, pada tahun 2016 di Kuala Lumpur sahaja, para pengunjung telah 8membelanjakan USD 11.3 bilion, dengan hampir 80% daripadanya untuk penginapan, makan dan minuman serta membeli-belah.

Ini perkembangan yang amat menggalakkan lebih-lebih lagi apabila kita mula-mula memperkenalkan Program Transformasi Negara pada tahun 2010. Salah satu fokus utamanya adalah untuk mengembangkan industri pelancongan sebagai industri penyumbang utama kepada ekonomi negara selain mengguna pakai polisi yang lebih mesra komuniti perniagaan.

Hasil daripada usaha dan inisiatif Kerajaan ini, Laporan Tahunan Program Transformasi Negara 2015 menunjukkan bahawa sektor pelancongan adalah penyumbang ketiga tertinggi kepada Pendapatan Negara Kasar.

Walaupun begitu, untuk kekal berdaya saing, kita perlu mengkaji semula polisi dan strategi supaya terus jadi pilihan utama para pengunjung, memahami keperluan pasaran agar kita boleh mencapai taraf bandar-bandar yang berada di atas kita dalam senarai, seperti London, Paris dan Bangkok.

Kerajaan akan terus mengusahakan lebih banyak  peluang bagi mengembangkan industri pelancongan. Pembangunan yang sedang berlangsung seperti pembinaan MRT, Projek Taman Tugu, Warisan Merdeka, River of Life dan sebagainya akan meningkatkan lagi daya tarik Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan utama pelancong pada masa akan datang.

Tetapi lebih daripada itu, saya yakin sebab utama kepada minat para pelancong serata dunia berkunjung ke Kuala Lumpur adalah keharmonian dan kestabilan yang ada di Malaysia, dengan sifat peramah dan mesra penduduknya yang berbeza namun serupa. Memang tiada tempat lain di dunia seunik Malaysia.


1) NR FACEBOOK

https://www.facebook.com/najibrazak/posts/10153823978420952

2) NR TWITTER

https://twitter.com/najibrazak/status/783663849748639744

3) NAJIBRAZAK.COM

https://www.najibrazak.com/bm/blog/kuala-lumpur-destinasi-global/


Sent from Samsung tablet.