Sabtu, 25 Februari 2017

Cari penyakit bila menyalahguna aplikasi media sosial.

Malaysiakini

Lelaki ditahan dipercayai keluar kenyataan hina Sultan Johor

 (Dikemaskini )
     

    Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan polis semalam selepas dipercayai mengeluarkan kenyataan jelik dan menghasut terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki itu ditahan susulan laporan penyalahgunaan laman media sosial mengandungi kenyataan jelik dan menghasut yang disifatkan boleh menggugat keharmonian serta kesejahteraan negara.

    Beliau berkata lelaki itu ditahan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada 10.45 malam setelah dipercayai bertanggungjawab membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Johor.

    "Suspek dipercayai membuat kenyataan itu melalui laman sosial Facebook... polis turut merampas sekeping kad sim dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan oleh suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

    Sehubungan itu, Wan Ahmad Najmuddin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan mana-mana aplikasi bagi mengeluarkan kenyataan palsu dan kenyataan untuk menyakitkan hati, menganiaya mengugut dan mengganggu orang lain.

    "Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, sifat hormat menghormati dan kesopanan dan kesusilaan di antara satu sama lain adalah begitu penting di dalam menjamin keharmonian sesebuah negara," katanya.

    Beliau turut mengingatkan bahawa polis Johor tidak akan berkompromi dalam perbuatan sedemikian dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak terbabit.