Jumaat, 24 Februari 2017

SALAH GUNA DANA AWAM NEGERI SELANGOR (YAWAS) DAN KHAIRAT KEMATIAN (SMUE) LEBIH TERUK DAN KEJI



Seluruh kepimpinan Gabungan NGO Negeri Selangor menjunjung kasih Kebawah DYMM Sultan Selangor diatas titah Baginda kepada seluruh AJK Masjid dan AJK Kariah berkenaan penggunaan Van Jenazah. Kami menyambut baik dan mengambil maklum titah DYMM Sultan Selangor bertarikh 23/2/2017.

Pada hari ini kita dapat melihat sekumpulan penyokong-penyokong Pakatan Harapan-PPBM melalui sayap-sayap Pemuda Pakatan Harapan termasuk AMK-ARMADA-PAN-DAPSY telah mengambil kesempatan dan memanipulasi titah DYMM Sultan Selangor dengan membuat demo serta laporan Polis terhadap YBhg. Dato' Sri Jamal Md. Yunos dan Gabungan NGO Negeri Selangor.

Tindakan ini hanyalah cubaan untuk menutup isu sebenar yang kami bawa iaitu berkenaan penyalahgunaan serta kelemahan pengurusan Dana Awam YAWAS dan SMUE oleh Kerajaan Negeri Selangor dibawah kepimpinan YAB Dato' Seri Azmin Ali.

Penggunaan Van Jenazah hanyalah sebagai gimik dan tidak menyebabkan sebarang implikasi, susut nilai atau kerosakan samada kepada Van Jenazah tersebut atau Institusi Pengurusan Jenazah itu sendiri. Apa yang lebih teruk dan jijik adalah isu sebenar iaitu penyalahgunaan dan ketidakpatuhan dalam Pengurusan Dana Awam YAWAS dan SMUE itu sendiri. Kerana ia melibatkan urusan Khairat Kematian yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat dan manfaat kematian berupa Wang Tunai yang dijanjikan dan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.

Pada kami hal ini lebih teruk, biadap dan satu penghinaan terhadap Institusi Agama Islam kerana mereka mengambil kesempatan atas Dana yang dikhususkan untuk Khairat Kematian bagi memudahkan keluarga dalam melaksanakan kewajipan Agama Islam iaitu mengurus jenazah sehingga selesai pengkebumian.

*Dato' Mohd Imran Tamrin*
Penasihat Undang-Undang Gabungan NGO Negeri Selangor
24 Februari 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan