Rabu, 26 April 2017

Rancakkan Pelancongan Perubatan, Bersedia Kolabrasi Dengan Pulau Pinang:- DSD Dr Zambry Abd Kadir




IPOH :-26/04/2017 Kerajaan negeri Perak bersedia untuk berkolabrasi dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi merancakkan sektor pelancongan perubatan dan seterusnya menjadi Perak sebagai tumpuan di rantau Asia.

Mengulas lanjut, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir berkata kerjasama itu terutamanya dalam usaha membawa pelancong dari luar negara memandangkan Pulau Pinang mempunyai kemudahan pengangkutan penerbangan antarabangsa.

"Ketika ini Pulau Pinang mendapat manfaat itu dan berkemungkinan kita boleh bekerjasama dengan peringkat Pulau Pinang untuk membangunkannya," katanya.

Datuk Seri Diraja Dr Zambry berkata demikian semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco, di Ipoh hari ini.

Semalam, beliau berkesempatan mengadakan sesi dialog dengan 300 pegawai perubatan di Ipoh malam tadi dan antara cadangan yang dikongsikan ialah membangunkan sektor pelancongan perubatan di Perak.

“Kita mempunyai ramai doktor pakar yang hebat sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa jadi kita boleh gunakan potensi ini untuk tarik pelancong perubatan.

"Saya usulkan cadangan ini kepada Exco Pelancongan untuk mengadakan siri lawatan khususnya di rantau ini terutama di Indonesia untuk dapatkan pelancong perubatan," kata Datuk Seri Diraja Dr Zambry.

Jelasnya lagi pihaknya akan turut mengadakan perbincangan dengan pihak penerbangan khususnya dari Indonesia untuk menawarkan perkhidmatan mereka di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh.