Ahad, 9 April 2017

SETIAUSAHA PUBLISITI DAP, TONY PUA, KAKI KELENTONG

Dalam rakaman khas beliau bagi mengutuk pembentangan huraian Rang Undang-Undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 oleh Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu, Setiausaha Publisiti DAP merangkap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata:
“Now, every opposition (member) has the right to table a private member’s bill or opposition’s motion, but the question is, in the history of Malaysia, never has such motions been allowed to get onto the floor. In normal parliamentary democracies, yes, opposition members’ bills actually get the chance to be heard on the floor, but not in Malaysia.”

(“Sekarang, setiap Ahli Parlimen pembangkang mempunyai hak untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian atau usul pembangkang, tetapi soalannya ialah, dalam sejarah Malaysia, tidak pernah usul sebegini dibenar untuk dibentangkan. Dalam demokrasi berparlimen biasa, ya, Rang Undang-Undang Ahli-Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya berpeluang untuk dibentangkan, tetapi tidak di Malaysia.”)

Dalam catatan muka buku beliau Khamis lalu juga Tony Pua menyebut:
“Opposition motions and bills have never made it to the House Floor for debate in the history of Malaysian Parliament, because BN controls what gets tabled, in collusion with the House Speaker.”

(“Usul dan Rang Undang-Undang Persendirian pembangkang tidak pernah dibenar untuk dibahaskan dalam sejarah Parlimen Malaysia, kerana BN mengawal apa yang boleh dibentangkan, melalui persepakatan dengan Yang Dipertua Dewan.”)

Hakikatnya, berdasarkan sejarah Parlimen Malaysia, sudah banyak kali Usul dan Rang Undang-Undang Persendirian pembangkang dibenar bukan sahaja untuk dibentangkan, malah untuk dibahaskan dan diundi juga.

Pada Isnin, 24 Oktober 1977, tiga Rang Undang-Undang Persendirian dikemukakan oleh dua Ahli Parlimen DAP, iaitu Ngan Siong Hing (Kinta) dan Lim Kit Siang (Kota Melaka).

Dua Rang Undang-Undang Persendirian yang dibentangkan oleh Ngan Siong Hing serta yang dibahaskan dan diundi dalam Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Oktober 1977, ialah Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Ordinan Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan, 1967 dan Rang Undang-Undang Persendirian untuk mewujudkan Akta Melindungi Pekerja-Pekerja dan Gaji Minima, 1977.

Rang Undang-Undang Persendirian yang dibentangkan oleh Lim Kit Siang serta yang dibahaskan dalam Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Oktober 1977, ialah Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Biro Siasatan Negara, 1973. Perbahasan dan pengundian ke atas Rang Undang-Undang Persendirian ini diteruskan pada Selasa, 25 Oktober 1977.

Walaupun Tony Pua, yang dilahirkan pada 1 Ogos 1972, baru berusia lima tahun pada waktu itu, sangat pelik jika beliau, sebagai Setiausaha Publisiti DAP, tidak mempunyai team penyelidik. Lebih pelik lagi bila Lim Kit Siang, salah seorang Ahli Parlimen DAP yang mengemukakan Rang Undang-Undang Persendirian itu yang pada waktu ini adalah Ketua Ahli Parlimen DAP, tidak berbuat apa-apa untuk membetulkan Tony Pua.

Lebih teruk lagi jika Lim Kit Siang sendiri sengaja menyembunyikan fakta beliau pernah dibenar untuk membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian dalam Dewan Rakyat.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).