Rabu, 23 Ogos 2017

Lapor polis walaupun RM50 kena tipu

PENIPUAN SIBER

Datuk Acryl Sani Abdullah 


KUALA TERENGGANU - Mangsa penipuan siber seperti jual beli online dan scam diminta untuk membuat laporan, agar dapat membantu pihak polis mengesan kalangan mereka yang kerap melakukan penipuan secara online.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penipuan jual beli secara online merupakan statistik yang terbesar yang dicatat dalam kes jenayah komersial, melibatkan kerugian puluhan juta ringgit setiap tahun.

Malah katanya, polis menerima lebih 100 aduan setiap minggu berkaitan kes berkenaan, dan percaya masih ramai lagi mangsa yang terlibat.

“Saya percaya, masih ramai yang tidak laporkan kerana melibatkan amaun yang kecil, ada juga yang rasa leceh kerana kena bagi kenyataan dan sebagainya. Tetapi ingin kita tegaskan, walaupun amaun yang kecil, lapor kepada pihak berkuasa supaya mudah untuk polis mengenal pasti mereka yang sentiasa mengambil kesempatan di atas ledakan Internet ini.

“Walaupun jumlahnya sekadar RM50, RM60, kita galakkan mangsa buat laporan. Kita tahu mangsa tak akan dapat balik duit mereka, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu pihak PDRM untuk kesan dan ambil tindakan terhadap pesalah. Kalau tak lapor, kita tak tahu aktiviti mereka dan ia akan terus menggalakkan mereka untuk menjalankan aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu yang baharu, Datuk Rosli Ab Rahman kepada Datuk Aidi Ismail di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, kebanyakan penipuan siber menggunakan platform seperti mudah.my, lelong.my, aplikasi WhatsApp dan laman web mereka sendiri, dalam menjalankan modus operandi mereka.

Oleh sebab itu katanya, penting bagi pengguna untuk mengenali dengan siapa mereka berurusan dan jangan mudah terpengaruh dengan gimik jualan murah yang dilakukan.

“Sekarang ini juga popular dengan kes penyamaran sebagai pegawai bank. Ingin saya tegaskan, tidak ada mana-mana bank yang minta berurusan sama ada menukar butiran atau maklumat melalui telefon atau e-mel. Kalau perlu, pihak bank akan minta untuk datang ke cawangan masing-masing.

“Begitu juga urusan dengan jabatan kerajaan seperti kastam dan LHDN, semuanya dilakukan di kaunter, tidak melalui saluran lain. Ini masyarakat perlu waspada,” katanya.