PAKATAN Harapan (PH) kini mengerahkan semua kekuatan parti komponen untuk bekerja dan mengetuai kempen di negeri yang sudah pun diagihkan menjelang pilihan raya umum, selepas menutup rapat pintu kepada PAS.
Mesyuarat Majlis Presiden PH yang bermula pada 9.30 malam sehingga tengah malam tadi turut menyelesaikan pembahagian kepimpinan mengikut negeri kepada parti komponen.
PKR dan Bersatu masing-masing mendapat empat negeri manakala kedua-dua DAP dan Amanah diberikan tanggungjawab untuk memimpin tiga negeri.
"PKR akan menjadi pengerusi PH di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah.
"Manakala Bersatu diberi kepercayaan mengetuai PH di Johor, Perak, Kedah dan Perlis," kata sumber yang menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PH semalam kepada The Malaysian Insight dengan syarat tidak dinamakan.
Seorang lagi sumber yang turut menghadiri mesyuarat itu berkata DAP ditugaskan untuk memimpin PH di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.
"Amanah pula ditugaskan untuk memimpin PH di Kelantan, Terengganu dan Melaka," kata sumber.
The Malaysian Insight difahamkan, Mukhriz Mahathir akan diberi kepercayaan untuk mengetuai PH Kedah.
Pada 10 Ogos lalu, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai pengerusi Pulau Pinang, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai pengerusi Selangor dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Johor.
Dr Mahathir turut mengumumkan Azmin yang juga naib presiden PH dilantik sebagai pengarah pilihan raya PH bagi membantu Muhyiddin dalam jawatankuasa pilihan raya.
Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu yang juga timbalan presiden PH dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa komunikasi dan mobilisasi.
Tengah malam tadi, PH dalam satu kenyataan mengumumkan menolak kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"PH tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU14.
"PH sedang merangka strategi untuk kemungkinan menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU14," kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan kepada pemberita yang sudah menunggu seawal 8 malam.
Kenyataan itu turut ditandatangani Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin, Lim dan Mohamad.