Rabu, 6 September 2017

Berita pilihan hari ini


*06 September 2017 - Rabu*
*15 Zulhijjah 1438 Hijrah*

➡ *NASIONAL*
1. KUALA LUMPUR: Isu graduan tiada pekerjaan tetap mendapat perhatian Quick Ride Sdn Bhd (Quick Ride) dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai pemandu Uber di sekitar Lembah Klang. Lebih menarik, mereka tidak perlu memiliki kenderaan untuk menjadi pemandu Uber menerusi Quick Ride kerana sebanyak 1,000 PROTON Saga dan PROTON Persona disediakan secara sewaan kepada pemohon yang layak.
2. CYBERJAYA: Ketua Polis Negara yang baharu, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berjanji memberi sepenuh komitmen dalam menangani pelbagai isu kepentingan awam termasuk kes kematian dalam lokap. Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk mengesahkan isu yang berkaitan dan bekerjasama dengan pihak berkenaan.
3. JELI: Kerajaan tetap membangunkan kawasan luar bandar termasuk mewujudkan universiti demi kemudahan rakyat, walaupun di negeri yang bukan di perintah Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha dilakukan secara berterusan itu tanda prihatin kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
4. KUALA LUMPUR: Malaysia memanggil Duta Besar Myanmar ke negara ini, hari ini untuk menyatakan rasa tidak puas hati rakyat terhadap keganasan yang berlaku kepada etnik Rohingya di wilayah Rakhine. Bantahan Malaysia itu disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Raja Nurshirwan Zainal Abidin kepada Duta Besar Myanmar, U Sein Oo, di Wisma Putra.
5. KUALA LUMPUR: GERAKAN mendesak kerajaan Myanmar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memberhentikan penindasan terhadap etnik Rohingya serta-merta. Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata penindasan etnik minoriti Rohingya oleh kerajaan Myanmar di Rakhine mencetuskan krisis kemanusiaan menyebabkan etnik itu menjadi pelarian seperti dilaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.
6. KUALA LUMPUR: Pengambilan pelajar perubatan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta ditentukan oleh kuota yang diberikan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata mana-mana pihak tidak boleh menyalahkan kementeriannya jika ada lambakan graduan perubatan universiti tempatan dan luar negara termasuk pelajar tajaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
7. Kuala Lumpur: MARA akan menumpukan kepada peningkatan tahap integriti dan tadbir urus korporat menerusi penubuhan Unit Integriti (UI) dan pelbagai unit lain untuk memerangi gejala rasuah dalam kalangan pegawai serta kakitangannya. Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata kesungguhan berkenaan turut dizahirkan dengan menempatkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di agensi itu.
8. KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa kerajaan supaya mengkaji semula skim gaji penguat kuasa untuk membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa. SPRM dalam kenyataan semalam berkata, cadangan itu penting bagi mengelakkan anggota dan pegawai agensi penguat kuasa, khususnya polis daripada terjerumus ke dalam jenayah rasuah.
9. PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Fuzi Harun, di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, di sini. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Fuzi atas pelantikannya sebagai Ketua Polis Negara ke 11.
10. MAKKAH: Seramai 1.5 juta jemaah menggunakan perkhidmatan tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro - Southern Line (MMMSL) sepanjang tujuh hari beroperasi yang berakhir semalam. Ia memperlihatkan peningkatan 400,000 penumpang sepanjang tujuh hari ia beroperasi, bermula 29 Ogos hingga 4 September, berbanding keseluruhannya 1.1 juta penumpang pada musim haji tahun lalu.

➡ *POLITIK*
1. JELI: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat tiga pesakit kronik dalam kunjungannya di Kampung Wakaf Zing, Ayer Lanas, di sini, sebentar tadi. Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa lebih setengah jam untuk bertanya khabar pesakit, Muhammad Hasan, 61, dan Nik Esah Tuan Draman, 64, yang menghidap angin ahmar, manakala Azizah Samad, 59, mempunyai ketumbuhan di leher dipercayai kanser.
2. KUANTAN: Propaganda DAP termasuk menjalin kerjasama dengan pemimpin Melayu yang menjadi musuh ketatnya sebelum ini hanya untuk memastikannya mendapat sokongan orang Melayu semata-mata. Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata perjuangan parti itu sebenarnya bukan untuk kepentingan orang Melayu berdasarkan kepada perlembagaannya dan ia berbeza dengan UMNO serta Barisan Nasional (BN) yang komited menjaga kebajikan semua kaum.
3. BUTTERWORTH: DAP diminta mengemukakan secara terbuka senarai penuh nama dan nombor kad pengenalan perwakilannya yang layak mengundi pada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu. Bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G Asoghan, berkata senarai itu perlu didedahkan bagi memastikan pemilihan semula yang bakal diadakan menggunakan sepenuhnya perwakilan pada pemilihan 2012 bagi mengelak pertikaian terus berlaku.
4. JOHOR BAHRU: Senarai calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) masih diteliti. Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa ini senarai tersebut belum lagi dimuktamadkan, namun yang pasti ada muka baharu diperkenalkan pada PRU-14.

➡ *EKONOMI*
1. KUALA LUMPUR: Kalangan cendekiawan dan penyelidik perlu mengenal pasti kaedah untuk mengantarabangsakan kewangan Islam serta meningkatkan transaksi perkhidmatannya secara rentas sempadan. Ketika membuat gesaan itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim, berkata ini juga bagi memastikan struktur produk kewangan Islam dapat menepati keperluan ekonomi.
2. KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd (UEMEd) menerima tawaran pengambilalihan daripada WSP Global pada 1 September 2017 untuk membeli 61.2 peratus pegangannya dalam Opus International Consultancy Ltd (OIC). Dokumen tawaran pengambilalihan itu diterima oleh OIC pada 30 Ogos 2017 susulan WSP Global menggugurkan syarat awal bagi kajian daya maju yang terkandung dalam perjanjian larangan​ ​​​​​​penjualan saham dalam tempoh tertentu.
3. KUALA LUMPUR: Lebih 40 jenama barang kemas daripada 14 negara akan menyertai Pameran Barang Kemas Asia 2017 di Hotel Shangri-La mulai hari ini hingga 7 September. Alun Jones, Pengurus Besar UBM MES, penganjur pameran terbabit berkata, acara kali pertama itu bertujuan meningkatkan reputasi Malaysia sebagai pusat perdagangan barang kemas standard global, di samping mempromosi negara ini sebagai hab baharu peniaga dan pembeli swasta barang kemas di seluruh dunia.

➡ *AGAMA*
1. Sahabat Rasulullah SAW berkata, "Wahai Rasulullah, haiwan korban apa ini? Baginda SAW bersabda: Ini adalah sunah nabi Ibrahim. Mereka berkata: Lalu pada haiwan itu, kami dapat apa wahai Rasulullah? Baginda berkata: Pada setiap bulu ada satu kebaikan. Mereka berkata: Bagaimana dengan shuf (bulu)? Baginda bersabda: Pada setiap bulu shuf ada satu kebaikan." (Riwayat Ibnu Majah)

➡ *LUAR NEGARA*
1. GENEVA: Korea Utara hari ini memberi amaran, 'pakej hadiah' terbaharu kepada Amerika Syarikat (AS) akan menyusul lagi selepas ini. Duta Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini, Han Tae Song, berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Gencatan Senjata ditaja PBB dua hari selepas negaranya melancarkan ujian nuklear keenam dan terbesar setakat ini.
2. FRANKFURT: Telur dicemari racun serangga fipronil ditemui di 40 negara termasuk 24 daripada 28 negara anggota Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Jerman DPA hari ini tanpa memetik sumber. Jutaan telur ditarik balik dari pasaran di Eropah walaupun sesetengah pengawal selia kebangsaan menyuarakan kebimbangan banyak telur tercemar sudah memasuki rangkaian makanan, terutama menerusi produk proses seperti biskut, kek dan salad.
3. BAITULMAQDIS: Polis Israel hari ini mengusir sebuah keluarga Palestin dari kediaman mereka di Timur Baitulmaqdis yang sudah dihuni selama lebih 50 tahun untuk memberi laluan kepada penduduk Yahudi. Rancangan pengusiran itu dikritik Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai kerajaan Barat, namun bukan Amerika Syarikat (AS).

➡ *SUKAN*
1. KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat negara, Muhammad Azroy Hazalwafie menghadiahkan emas pertama Kejohanan Kelayakan Komanwel di Gold Coast hari ini, sekali gus mengesahkan tempat ke temasya Sukan Komanwel 2018. Beraksi dalam kategori 56 kilogram, Azroy melakukan angkatan 117kg untuk snatch dan 136kg clean & jerk, dengan angkatan keseluruhan 253kg.
2. KEPONG: Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan menegaskan dia tidak sanggup berpisah dengan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim. Baginya, jurulatih itu ialah individu penting yang membentuknya sejak awal sehingga mampu menjadi seorang jaguh pada peringkat Asia Tenggara.
3. KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek meminta semua pihak supaya memberikan masa dan ruang kepadanya untuk menggilap kembali barisan pemain perseorangan negara, terutama Datuk Lee Chong Wei. Jelas Misbun, dengan kehadirannya yang masih baru di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tidak banyak dapat dilakukannya untuk menurunkan ilmu, terutamanya kepada Chong Wei pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, bulan lalu.
4. NEW YORK: Rafael Nadal mencatat kemenangan ke-50 di Terbuka Amerika Syarikat (AS) untuk menempah tiket ke suku akhir buat kali ketujuh, namun tumpuan terarah kepada pemain remaja sensasi Andrey Rublev dan ratu kebangkitan Kaia Kanepi. Pemain nombor satu dunia, Nadal yang mampu menempah pertemuan dengan seteru lamanya Roger Federer buat pertama kali di New York dalam kelompok empat terakhir, menewaskan pemain Ukraine Alexander Dolgopolov 6-2, 6-4, 6-1.
5. PARIS: Valentino Rossi yang mengalami kemalangan minggu lalu, disahkan tidak akan berlumba di MotoGP San Marino hujung minggu ini, demikian disahkan pasukan Yamaha hari ini. Juara dunia sembilan kali dari Itali itu mengalami patah kaki selepas kemalangan ketika sesi latihan minggu lalu.

*_BIRO IT UMNO BUKIT GANTANG_*
"""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""
*_"Jauhi Fitnah, Semak Sebelum Sebar (3S)"_*