Selasa, 31 Oktober 2017

Azmin Tidak Perlu Bongkak Sangat, TAWAS Pun Bukan Ideanya Datuk Saarani...






31/10/2017 -- Azmin Tidak Perlu Bongkak Sangat, TAWAS Pun Bukan Ideanya:- Datuk Saarani Mohamad

Kenyataan bersifat angkuh, bongkak dan sombong oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali tidak kemana kerana kebanggannya menceritakan penubuhan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) bukanlah ideanya.

Dalam hal ini, Timbalan Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad membidaskan isu tiru bajet yang menjadi ‘senjata’ pembangkang pada masa ini untuk ‘menyerang’ Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“… secara gopoh-gapah Azmin Ali telah mengeluarkan kenyataan untuk memperlekehkan satu usaha murni yang dibuat oleh YAB Perdan Menteri iaitu memperkenalkan Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 atau dipanggil (ADAM50).

“…Azmin Ali nampak sangat dengan wajahnya, keangkuhannya, kesombongannya mengatakan bahawa ADAM50 ini meniru TAWAS200 yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor. 

Katanya Selangor telah mendahului program TAWAS iaitu, menyediakan peruntukan untuk tabung pendidikan kepada anak-anak Selangor dengan RM200 tetapi saya nak ingatkan sekali lagi bahawa, kalau Selangor telah memulakannya ia bukan dimulakan oleh Azmin Ali, ia diperkenalkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim,” ujar beliau.

Pada sesi pengumuman Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Diraja Mohd Najib Tun Abd Razak memperkenalkan ADAM50 ini, iaitu satu peruntukan yang disediakan kepada anak-anak yang baru dilahirkan.

Peruntukan bernilai RM200 setiap kelahiran itu diberikan dalam bentuk saham bagi tujuan pendidikan.

Bagaimanapun, jelas Datuk Saarani program seumpama itu juga telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2010 iaitu menerusi Tabung Pendidikan Amanjaya.

“Maknanya, Perak juga telah terlebih dahulu (melaksanakan tabung pendidikan), jadi tak betul lah kalau Selangor kata Perdana Menteri tiru mereka. Saya pun tidak kata Perdana Menteri meniru Perak walaupun Perak telah mendahului.

“Pada saya Perdana Menteri sewaktu membentangkan bajet tersebut telah terlebih dahulu mengadakan Dialog Bajet, telah mendapatkan pandangan daripada peringkat bawahan… sehingga akhirnya beliau mengumumkan Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM2050). Jadi tak bolehlah Azmin Ali nak mendakwa Perdana Menteri telah meniru Selangor sebab Perdana Menteri ada kebolehan, kepakaran dan wawasan tersendiri,” demikian kata Datuk Saarani semasa sidang media khas mengenai reaksi Bajet2018 di Ipoh, pada Selasa.

Justeru rakyat tidak perlu keliru dengan isu ‘tiru’ yang digebangkan pembangkang, atau merasakan Kerajaan Negeri Selangor terlalu hebat kerana Kerajaan BN mempunyai pendekatan tersendiri dalam menyediakan belanjawan.

“…bajet yang telah dibuat oleh Perdana Menteri telah diperhalusi sejak awal lagi dan bajet yang telah dibentang oleh Pakatan Harapan beberapa hari sahaja belum dibentangkan lagi di parlimen. Tak mungkin kita nak tiru dia sebab Pakatan Harapan tidak pulak membayangkan dari mana wang (bajet) itu akan diperolehi,” kata Datuk Saarani lagi.