Sabtu, 28 Oktober 2017

MAZLAN ALIMAN PERSOALKAN BAJET 2018 TIDAK FOKUS KEPADA FELDA ?


Mazlan Aliman yang kononnya menjadi Robin Hood kepada peneroka Felda sebenarnya ingin memperkudakan ANAK untuk membolehkan beliau menjadi wakil rakyat yang bergelar YB mewakili Pan.

Tahun lepas beliau kalah saman oleh Felda dah dikehendaki membayar RM3500 kepada Felda.

Beliau juga terpaksa melancarkan tabung kutip dana seperti mana yang dilakukan oleh Rafizi Ramli dan beberapa ahli politik pembangkang yang lain.

Kerana terlalu gelojoh untuk mengkritik kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan DS Najib Razak Mazlan sekali lagi secara semberono menembak seperti beruk dapat senapang.

Sila lihat kenyataan ANAK dan kenyataan warga Felda di bawah;

ANAK ingin mempersoalkan beberapa perkara berikut:-

1. Apa kesudahannya Projek Perumahan Generasi Baru Felda(PGBF) sebanyak 20,000 unit dengan kos RM1.4 bilion,  yang diumumkan pada tahun 2012?

Di maklumkan oleh Pengerusi Felda ketika itu, Tan Sri Isa Samad, sebanyak 8570 unit akan mula di bina dan dijangka siap dalam masa 5 tahun.

Yang pasti, perumahan Generasi Baru ini terbengkalai sehingga kini, dan tidak dapat dipastikan bila mahu dipulihkan.

ANAK ingin kepastian, adakah 5000 unit rumah Generasi Baru Felda dengan kos RM164 juta yang diumumkan semalam, di lokasi baru atau termasuk di perumahan yang terbengkalai?

2. Apa kesudahannya Projek Sentuhan Kasih Felda di Felda Tenggaroh 3, Felda Chini Timur 2 dan Felda Tenang(Besut)  sebagai projek perintis berteknologi tinggi yang menelan belanja RM120 juta?

Setakat ini dari tinjauan ANAK, hanya di Felda Tenggaroh 3 sahaja, 100 buah rumah  yang berjaya disiapkan. Namun, pakej pembangunannya dianggap gagal.

Hingga kini, peserta projek tidak tahu berapa hutang sebenar atas pinjaman rumah kononnya 'ala banglo' yang mereka diami.

3. Sekali lagi isu wang SES atau Kumpulan Wang Perusahaan Getah dimanipulasi di Parlimen. ANAK masih ingat ketika kempen PRK Kerdau pada tahun 2011, YAB Perdana Menteri berjanji keatas 7,800 peneroka getah di 28 Felda seluruh negara.

Kini, komitmen Kerajaan memulangkan wang SES ini kepada 8925 peneroka dengan peruntukan RM43 juta.

Realitinya para peneroka getah ini sudah terlalu letih berulang alik ke pejabat RISDA bagi menuntut hak mereka.

Jika pun mereka dapat, adakah RISDA membayarnya terus kepada peneroka, atau melalui FELDA yang penuh kerenah birokrasi?

Kebimbangan ANAK, wang SES tersebut akan dipotong di sana sini!
Berapakah yang tinggal buat peneroka, sedangkan ia sangat penting untuk tujuan tanam semula sepertimana matlamat tabung SES ini di wujudkan.

Seharusnya, pembentangan bajet di manfaatkan bagi Kerajaan menerangkan secara terperinci Plan Pemulihan Felda.

Di mana kesudahannya Plan Induk Transformasi Felda 2013-2056 yang disediakan pakar ekonomi dan para konsultan?

Bagaimana kedudukan terkini Felda Investment Corporation(FIC) melalui 12 pelaburan bernilai berbilion ringgit?
Sebahagiannya sedang disiasat SPRM dan telah ada mereka yang ditahan serta didakwa atas pelbagai penyelewengan.

YAB Perdana Menteri tentu tahu mengenai pembentangan Plan Induk Transformasi Felda dan dikemukakan dalam ALP Felda.

Maka beberapa projek tidak masuk akal, antaranya projek ternakan Ikan Sturgeon; dimana Laporan Audit Negara mendedahkan kepincangannya.

Ketika ini terdapat 59,569 orang peneroka Felda diurus kebun mereka melalui Felda Technoplant Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada 22 Jun 2005.

Isu pendapatan yang rendah, pengurusan ladang yang tidak sempurna dan timbunan hutang masih menghantui para peneroka dan bilakah akan berakhir.

ANAK tidak menolak kewibawaan Dato' Dzulkifli Abd Wahab, mantan Pengarah Besar Felda, yang dilantik menerajui Felda Technoplant.

Namun, Kerajaan harus mengkaji semula kedudukan Technoplant yang menimbulkan kemarahan peneroka atas berbagai isu.

Mengapa tidak diperkasa peranan Koperasi Permodalan Felda(KPF) dan Koperasi di setiap rancangan Felda yang berkepentingan langsung dengan pengurusan kebun peneroka. Segala potensi khususnya melahirkan usahawan ladang terdiri dari Generasi Baru Felda dapat dijayakan.

Bukankah ia baik untuk sosio ekonomi anak peneroka daripada membiarkan Technoplant atau pihak kapitalis mengambil kesempatan atas keringat peneroka?

Terlalu banyak untuk ANAK perkatakan mengenai situasi sedih yang menyelubungi Felda waktu ini.

Bajet semalam tidak memberikan apa apa kelegaan dari kemurungan warga Felda, kesan penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, kehilangan berbilion wang Felda dan kesilapan melantik Tan Sri Isa Samad.

Benarlah seperti pantun Sasterawan Negara,  Datuk A. Samad Said;

' Masuk ke hutan muncul di rimba,
Selam di tasik, timbul dilaut.
Bajet umpama simbahan gula,
Yang heboh beri, yang senyap kaut'.

' Menerajui Perubahan'

Mazlan Aliman
Presiden ANAK
28 Okt 2017

Bajet 2018 ringankan beban peneroka FELDA

JERANTUT: Pelbagai insentif kepada peneroka FELDA yang diumumkan kerajaan dalam Bajet 2018 mengurangkan beban peneroka tanah rancangan itu termasuk generasi kedua di seluruh negara.

Ketua Kampung FELDA Sungai Tekam Utara, Rashid Abbas, berkata Bajet 2018 itu menepis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak mempunyai kewangan kukuh untuk membantu rakyat termasuk peneroka FELDA.

Beliau berkata, ia juga membuktikan kebajikan mereka terus dibela menerusi pemberian 'durian runtuh' kepada 112,000 peneroka FELDA termasuk bayaran Insentif Khas Peneroka berjumlah RM5,000.

"Usaha kerajaan mengembalikan wang ses yang sudah dibayar oleh peneroka getah yang sudah membuat tanaman semula kelapa sawit dari tahun 2010 hingga 2016 menggembirakan kami. Ini memberi faedah kepada ramai peneroka kerana ramai peneroka getah menukar kepada tanaman kelapa sawit.

"Kami menyanjung usaha murni Perdana Menteri yang terus menjaga kebajikan warga peneroka walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kepada kerajaan dan FELDA," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ketua Kampung FELDA Kota Gelanggi 1, Nordin Yet, pula berkata, peruntukan RM60 juta untuk program tanaman semula kelapa sawit juga menggembirakan peneroka sekali gus dapat meningkatkan pendapatan masing-masing.

"Ini dapat meringankan beban peneroka yang mahu menanam semula kelapa sawit mereka yang sudah tua," katanya.

Ketua Kampung FELDA Sungai Retang, Suran Jaafar, usaha kerajaan membina 5,000 unit rumah generasi kedua dengan peruntukkan RM164 juta membuktikan kerajaan prihatin untuk menyelesaikan masalah generasi kedua FELDA termasuk menggalakkan mereka terus tinggal di tanah rancangan berkenaan.

"Kami kagum dengan usaha dan fokus kerajaan dan Perdana Menteri untuk memakmurkan warga peneroka dalam pelbagai skop kehidupan ekonomi, kemasyarakatan serta sosial," katanya.

Generasi kedua FELDA Tekam Utara, Anuar Abdul Rahman, pula berkata keperluan rumah untuk generasi kedua memang ditunggu sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan rumah di tanah rancangan.

Peneroka FELDA Kota Gelanggi 3, Rahman Abdullah, berkata peruntukkan RM200 juta kepada FELDA bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan pula memberi kemudahan yang selesa kepada peneroka.