Ahad, 13 September 2009

NIZAR BIUL:Modenisme Barat, Modenisme Islam dan Islam Liberal

Islam Liberal sebenarnya sudah lama wujud dalam dunia Islam, tetapi sebelum ini dikenali dengan modenisme Islam.

Modenisme Islam terpengaruh dengan modernisme Barat, kerana sejak abad ke 16/17 umat Islam telah dijajah oleh kuasa Barat, menyebabkan umat Islam terdedah dengan pemikiran, budaya dan agama Barat.

Dalam menghadapi budaya Barat terdapat perbezaan di antara dua kelompok. Kaum tradisionalis (tua) menentang dan mengasingkan diri dari segala bentuk pembaratan(westernization), manakala kaum modenis (muda) menerima dan mengadaptasi budaya Barat bersesuaian dengan budaya Islam.

Modenisme Barat

Modenisme di Barat digerakkan oleh ahli-ahli falsafah seperti Rene Descartes (1592-1650), John Locke (1632-1704), Immanuel Kant (1724-1804), David Hume (1711-1776), Auguste Comte (1798-1857), Jeremy Bentham (1748-1832), J. S. Mill (1806-1873), Nietzsche (1844-1900) dan lain-lain yang memberikan penekanan terhadap rasionalisme dan liberalisme atau pembebasan manusia daripada peraturan tradisi dan agama.


Pada umumnya, modenisme Barat berasaskan falsafah enlightenment-humanism (pencerahan- kemanusiaan berasaskan aqal) yang bersifat angkuh dan mengagungkan akal rasional. Terdapat tiga premis utama yang mendasari pemikiran modenisme: Pertama, Tuhan itu tidak wujud atau diragui kewujudannya (ateisme, agnotisme). Kedua, alam semesta wujud secara semulajadi mengikut hukumnya yang tersendiri (immanentisme). Ketiga, akal rasional dan pancaindera mampu memahami fenomena alam dengan sendiri dan bukannya bergantung kepada wahyu (humanisme, rasionalisme).

Pada hari ini, gerakan enlightenment telah beralih kepada gerakan humanisme dipelopori oleh Council for Secular Humanism.

Menurut mereka, humanisme bermaksud: “Cara berfikir dan cara hidup yang bertujuan untuk memberikan yang terbaik bagi manusia, dengan menolak segala kepercayaan agama dan kuasa di luar tabi’i. Humanisme menekankan rasional manusia dan pengkajian saintifik, kebebasan individu, nilai-nilai kemanusiaan dan kasih sayang serta semangat toleransi “

Penjelasan tentang humanisme di atas bermaksud wujudnya perbezaan antara agama dan sains, antara moraliti dan kebebasan individu serta antara Tuhan dan nilai-nilai kemanusiaan

Modenisme Islam


Pada asalnya modenisme Islam memperjuangkan pembaharuan dalam agama dengan menentang taqlid (mengikut secara membabi buta). Muhammad Abduh (1849-1905) yang dianggap tokoh utama modenis Islam, pada mulanya hanya menginginkan pembaharuan dalam bidang pendidikan, agar umat Islam tidak berfikiran mundur, tetapi kemudian menjadi satu aliran yang menjadikan rasionalisme sebagai satu prinsip.

Menurut Orientalis golongan modenis Islam sitakrifkan sebagai golongan yang mendukung liberalisme dalam Islam dan menyerukan penafsiran rasional terhadap al-Qur’an.


Kemunculan Modenisme Islam akibat dari pertemuan yang tidak seimbang dan bertentangan antara dunia Islam dan Barat. Penjajahan yang berlaku lebih 400 tahun terhadap umat Islam sedikit sebanyak menyebabkan sikap rendah diri atau inferiority-complex apabila berhadapan dengan peradaban yang lebih hebat.

Gerakan modenisme telah mengalami perubahan setelah kemunculan Fazlur Rahman (1919-1988) yang telah merangka kerangka pemikiran neo-modenisme pada awal 80-an. Kerangka pemikiran Fazlur Rahman inilahyang melahirkan pemikiran yang lebih radikal, dan liberal yang dinamakan sebagai Islam Liberal.




Pengaruh Sekularisme terhadap Islam Liberal

Renฤ— Guenon, seorang penulis Muslim yang berasal dari Perancis, menjelaskan modenisme adalah penolakan terhadap segala apa yang berbentuk divine (ketuhanan), transcendent (hikmah) dan supernatural (kuasa ghaib).

Ia sama dengan penolakan yang dilakukan oleh humanisme terhadap tradisi dan autoriti, demi kepentingan akal dan sains tabi'i. Ia dicipta atas dasar perkiraan bahawa kuasa individu menjadi satu-satunya sumber bagi makna dan kebenaran.


Dapat disimpulkan bahawa pengaruh humanisme Barat sangat kuat dalam kerangka pemikiran modenisme Islam.

Dalam menjelaskan pengertian liberalisme Islam, Leonard Binder menegaskan bahawa perbahasan rasional menjadi tunjang utama golongan Islam Liberal. Rasionalisme, dalam ertikata mendewakan akal fikiran dan menjadikannya kayu ukur dalam menilai segala sesuatu.

Dalam mendefinisikan modenisme Islam, Charles Kurzman, menulis dalam bukunya Modernist Islam bahawa seorang modenis bukan sahaja menerima nilai-nilai moden dari Barat sebagai sesuatu yang benar, malahan turut berusaha untuk memperjuangkan modenisme Barat (proponent of modernity) ke dalam peradapan Islam yang termasuk di dalamnya rasionaliti, sains, kedaulatan perlembagaan (constitutionalism) dan persamaan manusia


Bahkan, menurut beliau peranan seorang modenis bukan sahaja dalam mencari persamaan di antara nilai-nilai moden dengan nilai-nilai atau ajaran Islam. Lebih dari itu, seorang modenis akan berusaha untuk memperkasakan dan membangunkan teori yang kukuh yang dapat membuktikan wujudnya persamaan dan kesesuaian tersebut.


Melalui hasil tulisan mereka, dapat dilihat sebenarnya tema-tema yang diperbahaskan oleh Islam Liberal tidak jauh berbeza dari modenis Islam. Di antaranya adalah demokrasi, pembelaan hak-hak wanita, kebebasan bersuara dan masa depan kemajuan manusia.

Sebenarnya tema-tema di atas hanya untuk peringkat permulaan. Peringkat seterusnya Islam Liberal akan mengemukakan tema-tema; penolakan Shari‘ah, pluralisme agama, kebebasan berijtihad, penolakan autoriti agama dan hermeneutic (menterjemah semula Al Quran