Selasa, 10 Oktober 2017

Syed Saddiq perlu dedahkan siapa 'H'


Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman perlu menyerahkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mempunyai bukti berkenaan dakwaannya berlaku aktiviti menyogok wang supaya pemimpin PPBM meninggalkan parti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata sebagai individu yang mempunyai maklumat dengan aktiviti rasuah membabitkan pemimpin parti, Syed Saddiq bertanggungjawab untuk menyerahkan maklumat berkenaan dan tidak menyembunyikannya.

“Dalam apa keadaan pun sekiranya ada individu dia ada maklumat berhubung rasuah dan salah guna kuasa, sebaik-baiknya dia patut lapor kepada pihak wajib, dalam kes ini adalah SPRM, supaya kita boleh ambil tindakan.

“Kita dalam Malaysia tidak tahu semua benda dengan keanggotaan yang terhad. Kadang-kadang orang anggap SPRM ini seperti ‘Superman’ tahu belaka. Kita juga perlu maklumat daripada orang ramai, baru boleh ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama SPRM di Kota Damansara, hari ini