Isnin, 6 November 2017

97 Pelajar UPSI Terperangkap Di Lenggong Perak



LENGGONG: Banjir menyebabkan seramai 105 pelajar dan kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim terperangkap apabila kawasan perkhemahan mereka di Riverine Nature Camp di Kampung Ibol, Sumpitan, di sini hampir dinaiki air, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, kumpulan itu terdiri daripada 97 pelajar dan lapan kakitangan universiti itu tidak dapat menyelamatkan diri berikutan sebahagian laluan keluar sejauh kira-kira tiga kilometer ke jalan utama Lenggong - Gerik, ditenggelami air sehingga lebih tiga meter.

Seramai 22 anggota dari Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dan dibantu anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA menggunakan tiga bot membantu membawa keluar kesemua mangsa ke Masjid Kampung Sumpitan di sini, dengan kumpulan terakhir dibawa keluar jam 3.45 petang tadi.

Jurucakap kumpulan berkenaan, Fadzli Abdul Rashid, berkata mereka yang menyertai Program Kem dan Melihat Gua Bersejarah di bawah Jabatan Sejarah UPSI selama tiga hari, memasuki kawasan itu petang kelmarin.

Katanya, dia bersama beberapa kakitangan lain menyedari kejadian itu apabila melihat air Sungai Ibol naik mendadak pada jam 12 tengah hari tadi, namun pada ketika itu kawasan perkhemahan mereka belum terjejas.

"Menyedari keadaan itu, saya dan rakan mengarahkan kesemua pelajar bersiap sedia mengemaskan barangan masing-masing, namun pada ketika itu juga kami dimaklumkan oleh penduduk jalan keluar ke jalan raya utama Lenggong - Gerik sudah ditenggelami air sedalam lebih tiga meter, lalu kami terus menghubungi bomba," katanya ditemui di sini, hari ini.

Fadzli berkata, ada pelajar perempuan yang kejang kaki kerana mengharungi banjir sehingga terpaksa diusung ketika diselamatkan tetapi pelajar lain tidak berdepan masalah.
Sementara itu, Ketua BBP Lenggong, Mohd Anuar Mohd Saff, berkata pihaknya menggunakan tiga bot untuk menyelamatkan pelajar berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya turut berusaha menyelamatkan penduduk di Kampung Sumpitan kerana sebahagian daripada rumah penduduk ditengelami air banjir sehingga sedalam lebih tiga meter dengan arus yang laju.

"Selain Kampung Sumpitan, kira-kira 10 kampung lain di sini turut terjejas termasuk Kampung Gelok, Chain, Batu Dinding, Teluk Batu, Banggol Belimbing dan Kota Tampan," katanya ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Kampung Sumpitan, Zulkaple Ramle pula berkata sehingga kini sebanyak 48 rumah terjejas banjir dan seramai 140 penduduk dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Kampung Sumpitan di tepi Jalan Lenggong - Gerik sejak pagi tadi.

"Air sedang naik dan kini ada rumah penduduk yang ditenggelami sehingga lima meter tetapi mereka terlebih dahulu berjaya diselamatkan dengan berpindah sejak jam 10 pagi tadi.

"Setakat ini hujan masih belum berhenti dan dijangkakan air Sungai Temelong dan Sungai Ibol akan terus melimpah kerana air dari bukit Banjaran Bintang Hijau juga sedang turun," katanya.