Jumaat, 3 November 2017

Bajet 2018 Telus Berhemah Berdisiplin dan Bertanggungjawab



KUALA LUMPUR: Pengiktirafan positif agensi Fitch Ratings terhadap Bajet 2018 membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, benar-benar mengemukakan belanjawan rakyat yang penuh telus, berhemah dan bertanggungjawab.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata Fitch Ratings adalah antara tiga agensi penarafan paling berpengaruh di dunia.

"Kita anggap Fitch Ratings ini sebagai 'pihak ketiga' yang berpijak di bumi nyata, berdasarkan fakta dan bukan auta.

"Agensi ini kelihatan mempunyai pendirian tegas, iaitu takut kerana salah, berani kerana benar. Fitch Ratings memuji Perdana Menteri dan bajet kita kerana ia bukan bajet gula-gula.

"Pakatan Harapan yang berkiblatkan DAP usah pula seolah-olah buta mata dan buta hati dengan kenyataan Fitch Ratings itu," katanya menerusi kenyataan media.

Annuar berkata, pembangkang hendaklah menerima hakikat kenyataan Fitch Ratings itu seadanya tanpa niat busuk dan fitnah tidak menentu.

Terdahulu, Fitch Ratings menyifatkan Bajet 2018 sebagai seimbang memenuhi keperluan rakyat dan pada masa sama melaksanakan pengukuhan fiskal.

Menurut agensi penarafan itu, Bajet 2018 menyediakan keseimbangan antara langkah menggembirakan rakyat tetapi, pada masa sama tidak mengorbankan sasaran untuk merendahkan defisit fiskal negara.

Fitch Ratings berpendapat, walaupun negara sudah mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan daripada minyak dan gas, komoditi berkenaan kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu, ekonomi negara kita kekal sensitif terhadap pergerakan harga komoditi berkenaan.

"Kita akur dengan Fitch Ratings, wujudnya risiko dalam unjuran pendapatan yang optimistik oleh kerajaan.

"Kerajaan mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2018 pada kadar 5.0-5.5 peratus, dengan mengandaikan momentum yang mengukuh ketika ini berkekalan," katanya.