Rabu, 1 November 2017

JUALAN PROTON MENINGKAT SEBANYAK 12.5%








Subang Jaya, 31 Oktober 2017 – PROTON merekodkan kenaikan jualan 12.5% setakat tahun sehingga kini, dengan jumlah jualan sebanyak 56,297 unit berbanding 50,091 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas. Ini dapat dicapai meskipun keseluruhan jualan kereta pada September 2017 mengalami penurunan berikutan bilangan cuti umum yang banyak pada bulan tersebut. Peningkatan ini turut disebabkan oleh pertumbuhan sebanyak 1.7% tahun sehingga kini untuk jumlah volum industri (TIV) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"PROTON amat bernasib baik dengan perancangan model Saga dan Persona yang masing-masingnya dilancarkan pada Ogos dan September 2016. Dengan penambahbaikan yang dilakukan pada kedua-dua model ini, PROTON telah berjaya meningkatkan penjualan kereta, di mana sebahagian besarnya adalah melalui hasil jualan kedua-dua Saga dan Persona, iaitu 42.7% (24,061 unit) dan 27.4% (15,448 unit) bagi keseluruhan jualan kereta Proton setakat ini. Bagi tahun ini, jumlah jualan kedua-dua model ini juga lebih baik berbanding 2016 dengan peningkatan sebanyak 9,661 unit. Persona pula telah memperlihatkan kenaikan sebanyak 90% pada tahun sehingga kini berbanding tempoh yang sama tahun lepas," kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON.

"Pendekatan yang diambil Proton dalam membawa kereta Proton dekat kepada pelanggan telah mula menampakkan hasil. PROTON sedang giat melakukan siri jelajah dengan lebih agresif, memasuki ke lokasi kawasan yang sibuk terutama pada hujung minggu. Pameran ciri-ciri keselamatan utama yang ada pada kereta-kereta Proton di siri jelajah PROTON telah dapat menarik minat orang ramai. Ini menunjukkan tanda-tanda yang positif bagi PROTON dan inilah sebabnya PROTON memerlukan rakan kongsi yang baik untuk memastikan Syarikat dapat terus kekal berdaya saing di pasaran. PROTON sedar akan cabaran-cabaran yang mendatang dan bersama rakan kongsi baharu, Syarikat akan terus bekerja bersama untuk mendapatkan hasil yang lebih baik," tambah Rashid.

Melihatkan kepada maklum balas positif yang diterima daripada pelanggan, PROTON kini meneruskan tawaran 5 nilai hebat dengan servis percuma selama 5 tahun* dan waranti selama 5 tahun* untuk setiap pembelian kereta Proton di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau e-mel kepada kami di customercare@proton.com. Pelanggan juga boleh layari www.proton.com atau Facebook rasmi PROTON di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi rasmi mudah alih MyProton, yang boleh didapati melalui Google Play dan Apple App Store.

*Perkhidmatan percuma tamat selepas 5 tahun atau 100,000km (mana-mana terdahulu) termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja. Waranti tamat selepas 5 tahun atau 150,000km, mana-mana terdahulu. Tawaran bermula 1 Nov hingga 30 Nov 2017.
Tamat –




Mengenai PROTON


PROTON Holdings Berhad kini dimiliki oleh DRB-HICOM Berhad sebanyak 50.1% dan sebanyak 49.9% lagi oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. Ditubuhkan pada tahun 1983, ia adalah satu-satunya pengeluar kereta OEM sepenuhnya yang lengkap dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Asia Tenggara dan telah ditubuhkan dengan tiga objektif dasar kebangsaan utama iaitu untuk menerajui pembangunan industri pembuatan komponen, untuk memperoleh dan meningkatkan teknologi serta kemahiran industri dalam industri pembuatan automotif dan untuk mengukuhkan daya saing antarabangsa serta keupayaan perindustrian di Malaysia.

1985 telah menjadi tahun bermakna dalam sejarah Malaysia apabila kereta kebangsaan negara pertama, Proton Saga dilancarkan untuk rakyat Malaysia. Sejak itu, PROTON telah menawarkan pelbagai kenderaan empat pintu yang versatil dan boleh dipercayai untuk kegunaan keluarga seperti Saga dan Persona, sedan eksekutif yang bergaya seperti Prevé, sedan eksekutif segmen-D yang elegan seperti Perdana serta kenderaan pelbagai guna yang luas dan mampu milik seperti Exora dan Ertiga. Turut ditawarkan ialah model hatchback berprestasi tinggi seperti Suprima S, model kompak dengan reka bentuk ‘berani’ dan penuh gaya seperti Iriz yang lengkap dengan ciri keselamatan dan merupakan model mampu milik yang mendapat pengiktirafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP.

PROTON kini bukan sahaja merupakan Syarikat pengeluar kereta, tetapi ia juga berperanan sebagai pemangkin utama kepada usaha pembangunan negara yang dilihat telah berkembang pesat berkat keupayaannya menguasai teknologi canggih yang diraih hasil usahama bersama rakan kongsi dan pelbagai kerjasama teknikal. Tidak dinafikan bahawa Syarikat telah membantu meningkatkan ekonomi Malaysia melalui kemajuan dan kejayaan dalam industri automobil.

Sentiasa mendengar keperluan dan kehendak PROTON, kereta Proton kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat pada masa hadapan, dengan menjadikan PROTON sebagai sebuah syarikat yang mengeluarkan kereta-kereta yang berkualiti dan berkeselamatan tinggi beserta semangat dan sepenuh hati; kereta-kereta yang memberikan kepuasan untuk dipandu dan dimiliki. Untuk makluman lanjut, layari http://www.proton.com.