Isnin, 22 Januari 2018

Berita hari ini


*22 Januari 2018 - Isnin*
*5 Jamadilawal 1439 Hijrah*

➡ *NASIONAL*
1. KUALA NERUS: Sebuah poliklinik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal dibina di Kem Sri Pantai, Seberang Takir, di sini, tahun depan. Poliklinik ATM yang bakal beroperasi sama seperti hospital daerah itu turut akan menyediakan pelbagai perubatan kepada anggota dan keluarga serta veteran ATM.
2. KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, isu perumahan mampu milik sentiasa menjadi fokus utama kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila pelbagai inisiatif dilaksanakan sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009.
3. PONTIAN: Enam nelayan tempatan yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara republik berkenaan dijangka dibebaskan hujung bulan ini. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata mereka dijangka dibebaskan antara hujung bulan ini dan pertengahan Februari depan. Prosesnya mengambil masa sedikit. Begitu juga nelayan Indonesia ditahan di negara kita yang terpaksa melalui proses perundangan supaya semua dapat berjalan dengan lancar.
4. ALOR GAJAH: Projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Gemas-Johor Bahru (JB) Sentral yang bermula bulan ini dijangka siap dalam tempoh empat tahun akan datang. Ketua Pegawai Eksekutif, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Rani Hisham Samsudin, berkata laluan itu akan menyediakan perkhidmatan ETS secara terus dari JB Sentral, Johor Bahru ke Padang Besar, Perlis.
5. KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan nasihat dan teguran Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ketika Majlis Perutusan Tahun Baru 2018 kementerian itu adalah selaras arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 6 April 2009. Ia membabitkan Larangan Pembabitan Dalam Politik Ke Atas Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi Dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
6. TELUK INTAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sudah menghantar surat bantahan kepada 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) berhubung cadangan blok itu mengharamkan Bahan Api-Bio Berasaskan Minyak Sawit di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) menjelang 2021. Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata kementerian itu menghantar surat bantahan itu menerusi pejabat kedutaan negara EU di negara ini, kelmarin.
7. SHAH ALAM: PAS akan meletakkan calonnya bertanding pada lebih 130 kerusi Parlimen di seluruh negara, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) depan, dengan harapan memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata jika menang lebih 130 kerusi, PAS sudah bersedia membentuk Kerajaan Persekutuan.
8. BENTONG: Inisiatif FELDA 2.0 memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan komuniti peneroka yang pintar dan mapan dalam semua aspek. Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad, berkata ia adalah usaha berterusan FELDA bagi menaik taraf aspek ekonomi, alam sekitar, pendidikan, teknologi dan kesihatan di setiap daripada 317 tanah rancangannya di seluruh negara.
9. RANTAU PANJANG: Orang ramai diingatkan tidak terpedaya dengan segala kandungan yang disebarkan di internet, terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari, berkata penyebaran fitnah ini sentiasa berlaku setiap kali pilihan raya, khususnya daripada pihak pembangkang.

➡ *POLITIK*
1. KUALA LUMPUR: Permintaan pakatan pembangkang supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkongsi keputusan dan dasar luar negara, dengan bakal calon Perdana Menteri dari pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) disifatkan sebagai satu jenaka. Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff turut menyifatkan permintaan itu sebagai gelojoh kerana pembangkang lebih mengutamakan kepentingan negara asing, menerusi angan-angan mereka akan menjadi kerajaan selepas PRU-14 nanti.
2. TUARAN: Pembangkang boleh melupakan sahaja angan-angan untuk menawan kerusi Parlimen Tuaran dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dinaunginya iaitu Sulaman, Kiulu dan Tamparuli pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tuaran, Datuk Hajiji Mohd Noor, berkata jentera parti itu akan berjuang habis-habisan bukan sahaja bagi memastikan Parlimen Tuaran dan DUN Sulaman serta Tamparuli kekal milik BN, malah merampas semula DUN Tamparuli daripada pembangkang.
3. SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, diingatkan supaya tidak mencampur-adukkan isu politik dalam pentadbiran negeri yang mendapat mandat daripada rakyat.
Perkara itu dibangkitkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, susulan kenyataan Pesuruhjaya PAS Negeri, Sallehen Mukhyi, berhubung dakwaan pembekuan peruntukan wakil rakyat parti itu pada tahun ini berjumlah RM800,000.
4. ARAU: Pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN) diminta tidak melayan apa saja tuduhan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap parti berkenaan, sebaliknya memberi fokus dalam membantu rakyat. Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata serangan berbentuk peribadi yang dilakukan bekas Perdana Menteri itu tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. "Semua kenyataan, tuduhan dan serangan itu hanya mengurangkan sokongan terhadap mereka (gabungan pembangkang).

➡ *EKONOMI*
1. KUALA LUMPUR: Institut Automotif Malaysia (MAI) menjangkakan sebanyak 29,641 pekerjaan baharu diwujudkan dalam industri automotif tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari, berkata daripada jumlah itu, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu turut menjangkakan 31 peratus adalah terdiri daripada kelompok pekerja mahir dan sangat mahir.
2. KUALA LUMPUR: Eksport kayu balak negara bagi tahun 2017 berkemungkinan melebihi RM23 bilion berikutan permintaan global yang semakin stabil. "Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun lalu, kita mencatat sejumlah RM21.40 bilion dalam eksport kayu, dengan sebahagian besar disumbangkan oleh jualan perabot kayu, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.
3. KUALA LUMPUR: Nilai tanah terbiar tidak boleh dibandingkan dengan nilai projek hartanah yang dimajukan dan mendapat sambutan baik, kata Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar. Justeru, katanya, rujukan bahawa harga projek Battersea Power Station (BPS) kini 1,000 kali ganda lebih mahal daripada harga asal adalah berniat tidak baik.

➡ *AGAMA*
1. Dari Abu Mas’ud r.a : Nabi saw bersabda,”Apabila seorang laki-laki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah.” 

➡ *LUAR NEGARA*
1. KABUL: Sekurang-kurangnya 18 orang termasuk 14 warga asing terbunuh dalam serangan berdarah, didakwa dilakukan Taliban di sebuah hotel mewah di ibu kota ini.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danish berkata, empat rakyat tempatan juga maut dalam insiden itu.
2. ALGIERS: Perancis menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat berhubung krisis kemanusiaan, ketika pertempuran semakin memuncak di Syria. Gesaan disuarakan Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian di luar mesyuarat negara Mediterranean barat di sini.
3. BEIRUT: Seramai lapan orang awam disahkan terbunuh dalam serangan udara pasukan Turki di Afrin, utara Syria, Ahad. Pasukan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain berkata, antara mangsa yang maut termasuk seorang kanak-kanak, dalam serangan di perkampungan Jalbara.

➡ *SUKAN*
1. KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) masih menunggu keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung lokasi stadium ragbi kekal pertama negara ini, yang akan dibina di Putrajaya. Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata beliau dimaklumkan oleh KBS dan MSN bahawa dua lokasi di Putrajaya telah dikenal pasti bagi pembinaan stadium ragbi berkenaan yang kosnya dianggarkan sebanyak RM10 juta.
2. LONDON: Penyerang Arsenal, Alexis Sanchez dan pemain tengah Manchester United, Henrikh Mkhitaryan akan menjalani ujian perubatan selepas perjanjian pertukaran dua pemain itu hampir muktamad, kata laporan. Akhbar Mirror melaporkan Sanchez dijangka tiba di Manchester bersama ejen Fernando Felicevich, dengan ujian perubatan dijadualkan berlangsung pada petang Ahad (hari ini), sementara Sky melaporkan yang Mkhitaryan akan menjalankan ujian sama di London.
3. KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria mengakui beliau adalah peminat Liew Daren. Ketika mengulas mengenai Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini, Norza menjelaskan badan induk itu sentiasa terbuka untuk menerima pemain profesional menjadi sebahagian daripada skuad pada acara berpasukan seperti Kejohanan Badminton Asia bulan depan dan Piala Thomas di Bangkok, Thailand pada Mei nanti.

*_BIRO IT UMNO BUKIT GANTANG_*
"""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""""
*_"Jauhi Fitnah, Semak Sebelum Sebar (3S)"_*