PKR Selangor perlu beri sebab kenapa nak tolak saya jadi PM?
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Mahathir Mohamad mahu mendengar sebab kenapa kepimpinan PKR Selangor menolak keputusan gabungan pembangkang mencalonkannya sebagai Perdana Menteri.
Dalam masa sama, Mahathir juga mahu pihak yang menolaknya memaklumkan calon alternatif yang dilihat layak berbanding dirinya menerusi rundingan yang akan dibuat.
“Ini kita nak tanya, kita nak tahu. Kita bukan nak tolak siapa. Tentu ada orang setuju tak setuju. Kita runding tengok siapa calon ganti,” katanya.
Beliau terdahulu mempengerusi Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan di ibu pejabat PPBM hari ini.
Dalam sidang yang sama, Mahathir menyifatkan isu itu sebagai masalah dalaman PH yang tidak perlu diketahui oleh media.
“Ini semua perkara dalaman tak payahlah press (media) nak tahu,” tambahnya.
Susulan pengumuman PH memilih Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pada konvensyennya baru-baru ini, pemimpin PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin melahirkan kekecewaannya terhadap keputusan itu.
Zuraida berkata, penolakan itu dibuat kerana berpendapat bahawa keputusan tersebut menggambarkan ketandusan calon yang layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri tanpa perlu ‘mengitar semula’ Mahathir.
MG