Jumaat, 26 Januari 2018

Usaha gigih Najib membangunkan ekonomi mengukuhkan ringgit

25 Jan – Ringgit meneruskan momentum kenaikannya berbanding dolar AS hari ini dengan mencatat peningkatan sebanyak 59 peratus sejak April 2016, kata Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes.

Pada 6 petang ini, ringgit ditutup pada paras 3.8840/8870 berbanding dolar AS daripada 3.9110/9140 pada Rabu.

Innes juga menjangkakan ringgit berkemungkinan mencecah paras 3.8 iaitu menokok 15 peratus daripada paras paling lemahnya di awal 2017.

Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS yang lemah, biarpun selepas pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, hari ini.

Beliau berkata kenaikan OPR itu bagaimanapun tidak memberi impak ketara terhadap ringgit kerana sudah dijangkakan oleh pasaran.

"Bagaimanapun, kami berpendapat pasaran mencatat jualan berlebihan manakala pedagang menyasarkan keuntungan susulan kenaikan OPR yang diumumkan oleh BNM.

"Jika perkembangan itu merupakan petanda aliran penyusutan dolar AS maka ringgit masih boleh bergerak dalam lingkungan di bawah paras 3.80 pada masa terdekat ini," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Innes berkata harga minyak berkemungkinan kekal melebihi unjuran bajet dan terus menyokong pengukuhan ringgit.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama dunia.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9746/9781 daripada 2.9803/9832 pada Rabu serta meningkat berbanding yen kepada 3.5630/5661 daripada 3.5658/5695, semalam.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.8286/8327 daripada 4.8242/8295 pada Rabu dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.5491/5537 daripada 5.5110/5168, semalam.