Ahad, 11 Februari 2018

50 Ahli PPBM Parlimen Larut Tinggalkan Parti


Seramai 50 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang hilang kepercayaan terhadap perjuangan PPBM mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO.

Ini yang berlaku di Parlimen Larut kelmarin . Semua ahli PPBM terbabit menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Faizul Arby Mohd Shohor dengan disaksikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bekas Ketua Penaja dan Setiausaha PPBM Larut,  Shafie Mohd Khairy, berkata keputusan itu diambil kerana mereka tidak yakin terhadap PPVM memperjuangkan hak rakyat khususnya kaum Melayu, sebaliknya dilihat hanya memperjuangkan kepentingan individu tertentu dalam parti.

"Kami sebulat suara tidak lagi mempercayai kepimpinan Pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu yang pelantikannya dibuat kerana pengaruh DAP.


"Kami tidak mahu bersama parti yang menyokong DAP kerana jika pakatan pembangkang memerintah negeri ini, boneka Menteri Besar adalah daripada DAP," katanya pada sidang media di Selama Inn di sini, hari ini.

Shafie berkata, lebih mengecewakan apabila kepimpinan PPBM Larut sendiri tidak pernah mengambil tahu masalah dihadapi ahlinya.

"Kami mengambil keputusan menyertai UMNO kerana hanya parti ini yang terus menjaga kepentingan Melayu di negara ini," katanya.

Sementara itu, Hamzah yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, UMNO sentiasa terbuka kepada sesiapa saja yang mahu bersama-sama parti bagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara.