Jumaat, 16 Februari 2018

MAHKAMAH SAHKAN AHLI PARLIMEN DAP FITNAH, NAJIB TAK BERSALAH ISU 1MDB



Perdana Menteri Najib Razak telah bertindak menyaman pemimpin Pakatan Harapan Tony Pua atas kapasiti peribadi beliau dengan mendakwa bahawa Pua telah membuat kenyataan fitnah ke atasnya melalui klip video berkaitan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Perdana Menteri mendakwa klip video yang dimuat naik oleh Pua atau ejen-ejennya menerusi laman rasmi Facebook defendan, berdurasi dua minit dan 21 saat dan bertajuk “BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU355 Private Member’s Bill,” boleh diakses secara meluas dan bebas melalui internet.

Pada 21 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Najib untuk perintah injunksi ex-parte bagi menghalang Pua daripada menerbitkan kenyataan atau kata-kata yang sama.

Pada 26 Jan tahun ini pula, mahkamah rayuan menangguhkan keputusan dalam rayuan Pua selepas mendengar hujah daripada para peguam. Mahkamah kemudian menetapkan pada semalam untuk menyampaikan keputusan.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa perbicaraan kes itu telah ditetapkan pada 23 April.

Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pua berkata beliau akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Bagaimana pun keputusan yang di buat mahkamah pada semalam membuktikan bahawa Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu telah gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan perintah injunksi sementara yang diperoleh oleh Najib terhadapnya (Pua) berhubung klip video yang Perdana Menteri mendakwa berbaur fitnah itu.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Yaacob Md Sam dengan sebulat suara menolak rayuan Pua untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan perintah injunksi sementara kepada Najib untuk menghalang Pua daripada mengulangi dakwaan berbaur fitnah itu.

Hakim Yaacob yang menyampaikan penghakiman mahkamah berkata mahkamah mendapati bahawa Najib telah memenuhi syarat yang diperlukan untuk injunksi sementara dibenarkan.

Beliau berkata terdapat bukti bahawa Pua berniat untuk mengulangi kenyataan yang dikatakan berbaur fitnah.

Yaacob juga berkata mahkamah mengambil perhatian kehakiman bahawa Peguam Negara telah membuat keputusan bahawa Najib tidak melakukan apa-apa salah laku berkaitan 1MDB.

Beliau berkata siasatan juga dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia, Bank Negara, dan Peguam Negara dan hasil siasatan yang telah diumumkan kepada orang ramai oleh Peguam Negara dan SPRM membersihkan Najib daripada sebarang salah laku jenayah.

Maka tindakan pihak Pakatan Harapan meneruskan propaganda mengenai isu 1MDB yang mengaitkan ia adalah salah Najib adalah suatu tindakan terdesak.

Mereka terpaksa berbuat demikian kerana Pakatan Harapan tiada lagi isu mahu memburukkan Najib dan Barisan Nasional dek kerana kecemerlangan pemerintahan negara.

Apatah lagi tarikh PRU14 sudah hampir tiba, maka Pakatan Harapan harus mencari jalan pintas untuk menghasut rakyat melalui fakta yang dimanipulasikan oleh mereka.

Rakyat harus percaya akan badan mahkamah yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik. Keputusan mahkamah membuktikan bahawa Najib tidak bersalah dalam apa-apa isu berkaitan 1MDB.

Jika rakyat terus mempercayai Pakatan Harapan, maka kehidupan rakyat akan terus ditipu sampai bila-bila. – TV14