Bank Dunia, IMF dan badan penarafan ekonomi antarabangsa mengiktiraf manfaat positif GST, dan tiada yang menyatakan 'GST salah' atau 'mansuh GST'.
Malahan tiada sebuah negara pun dari 174 buah negara GST di dunia ini memansuhkannya; di mana Perancis merupakan negara pertama melaksanakannya pada tahun 1954 kemudian diikuti negara-negara lain antaranya Jepun, China, Korea, Kanada, India, Australia, Jerman, UK, Iran, Arab Saudi dan UAE.
Anehnya, pihak pembangkang asyik menabur janji kepada rakyat untuk menghapuskan GST sekiranya membentuk kerajaan tetapi tanpa cadangan kukuh tentang bagaimana akan menggantikan hasil pendapatan dari GST; jadi ianya samalah seperti hasrat mereka mahu memenangi pilihanraya tapi tiada sepakat calon Perdana Menteri!
Cukai GST merupakan pengganti cukai lapuk SST yang rumit dan tidak berfungsi dengan baik sama ada untuk pengguna atau perniagaan, juga tidak seiring dengan era ekonomi digital masa kini.
GST bukan cukai baharu tetapi transformasi cukai untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, mengawal 'black economy' dan mencegah aktiviti ekonomi haram, bagi mengurangkan pengelakan cukai serta meluaskan asas cukai keseluruhan. Kadar GST terendah dunia ialah 5% (Jepun, Kanada) dan tertinggi ialah 28% (India).
Kerajaan telah menaikkan had dikenakan cukai supaya mereka yang mempunyai pendapatan peribadi RM4,000 ke bawah tidak lagi perlu membayar cukai pendapatan.
Selain itu kadar cukai korporat dan kadar cukai pendapatan peribadi juga telah dikurangkan.
Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai skim-skim bantuan rakyat antaranya BR1M bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah.
Kesimpulannya 'Manifesto Mansuh GST' hanyalah retorik semata-mata, dan kita semua masih ingat prinsip pihak pembangkang bahawa pada mereka 'MANIFESTO BUKAN JANJI!'