Isnin, 9 April 2018

KAGUM DENGAN CAWANGAN PENGEDAR GEELY












Subang Jaya, 8 April 2018 – Pada awal bulan Mac, seramai 33 orang pengedar PROTON telah berpeluang melawat ke salah sebuah cawangan pengedar Geely di Shanghai. Lawatan ini diadakan bagi membolehkan pengedar-pengedar PROTON melihat sendiri dan merasai suasana di pusat pengedar Geely dan bagaimana pengalaman ini dapat membantu menawarkan rupa bentuk yang sama bagi cawangan mereka di Malaysia.

Bagi Lum Hon Yoon, dari Gagah Murni Sdn Bhd, "Ia adalah pengalaman yang baik. Kami dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana keadaan cawangan pengedar Geely di sini. Mereka menggunakan setiap ruang yang ada dengan baik sekali. Dan apa yang lebih penting, ia mempunyai ruangan yang berbeza untuk pelanggan berasa selesa, seperti ruangan kopi, ruangan perbincangan, ruangan kanak-kanak dan juga ruangan bacaan".

"Ini bermakna tempat ini disediakan untuk seluruh keluarga. Ibu bapa tidak perlu risau kerana anak-anak mereka mempunyai tempat untuk bermain, atau jika si isteri memerlukan masa untuk membaca, maka dia boleh meluangkan masa di ruangan bacaan, oleh itu pelanggan boleh datang dan melakukan sesuatu agar tidak berasa bosan sambil menunggu kereta mereka diservis," jelas Lum.

Ruangan-ruangan yang disediakan mempunyai fungsi tersendiri dan kebanyakan pengedar menyukai idea tersebut, serta melihatnya sebagai keperluan bagi sebuah keluarga moden.

"Orang ramai sentiasa sibuk dan pelan mereka untuk menghantar kereta untuk dibaiki selama beberapa jam akan dirasakan seperti sepanjang hari. Dengan ruangan yang disediakan seperti ruangan perbincangan, ini juga boleh berfungsi sebagai lokasi perjumpaan di mana mereka boleh melakukan perbincangan di situ. Selain itu, dengan adanya ruangan kopi, ini bermakna anda tidak perlu pergi ke Starbucks terdekat atau Coffee Bean untuk mendapatkan kopi pagi atau minum petang bagi menceriakan hari anda," kata Aw Chiew Soon, dari Warna Bestari Sdn Bhd.

Razali Ahmad, dari Erakars Sdn Bhd turut berkongsi pandangan yang sama. "Ruang pameran kelihatan lebih kurang sahaja seperti cawangan-cawangan di PROTON. Apa yang membezakannya adalah kawasan menunggu yang luas dan kawasan rehat yang selesa yang kelihatan seperti ruang tamu di rumah anda, yang mana saya dapat merasakan bahawa pelanggan amat menyukainya. Kemudahan tambahan menjadi faktor tarikan dalam menarik pelanggan untuk datang ke pusat servis kereta. Sekurang-kurangnya pelanggan boleh mengisi masa mereka dengan cara yang paling produktif, jadi, secara keseluruhan ia adalah kelebihan untuk mereka".

Bagi beberapa pengedar yang lain, apa yang menarik perhatian mereka ialah pakaian seragam yang segak dan cara profesional mereka menyambut wakil-wakil dari PROTON.

"Bagi saya, keluasan ruangan menunggu adalah idea menarik. Lebih-lebih lagi, apa yang mengagumkan saya ialah pakaian seragam mereka. Lelaki dan perempuan semuanya kelihatan begitu segak. Ini juga baik untuk perniagaan. Pelanggan yang masuk akan dapat merasakan keadaan yang bersepadu ketika kakitangan mendekati mereka. Bagi kami, ini adalah salah satu faktor penting untuk menarik pelanggan ke bilik pameran," jelas Azizulmu'min Mohd Hussein Malim dari Rohamas Corporation Sdn Bhd.



M/s 2 Dari 2

KAGUM DENGAN CAWANGAN PENGEDAR GEELY

"Tambahan pula, apabila kakitangan bahagian jualan dan perkhidmatan bertutur dan berkelakuan seiring, tidak kira dari segi pakaian seragam atau cara mendekati pelanggan, ia memberikan keyakinan yang lebih kepada para pelanggan, maka menjual produk menjadi lebih mudah, selain pengetahuan produk yang baik," jelas Azizulmu'min.

-Tamat-

Mengenai PROTON

PROTON Holdings Berhad kini dimiliki oleh DRB-HICOM Berhad sebanyak 50.1% dan sebanyak 49.9% lagi oleh Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. Ditubuhkan pada tahun 1983, ia adalah satu-satunya pengeluar kereta OEM sepenuhnya yang lengkap dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Asia Tenggara dan telah ditubuhkan dengan tiga objektif dasar kebangsaan utama iaitu untuk menerajui pembangunan industri pembuatan komponen, untuk memperoleh dan meningkatkan teknologi serta kemahiran industri dalam industri pembuatan automotif dan untuk mengukuhkan daya saing antarabangsa serta keupayaan perindustrian di Malaysia.

1985 telah menjadi tahun bermakna dalam sejarah Malaysia apabila kereta kebangsaan negara pertama, Proton Saga dilancarkan untuk rakyat Malaysia. Sejak itu, PROTON telah menawarkan pelbagai kenderaan empat pintu yang versatil dan boleh dipercayai untuk kegunaan keluarga seperti Saga dan Persona, sedan eksekutif yang bergaya seperti Prevé, sedan eksekutif segmen-D yang elegan seperti Perdana serta kenderaan pelbagai guna yang luas dan mampu milik seperti Exora danErtiga. Turut ditawarkan ialah model hatchback berprestasi tinggi seperti Suprima S, model kompak dengan reka bentuk ‘berani’dan penuh gaya seperti Iriz yang lengkap dengan ciri keselamatan dan merupakan model mampu milik yang mendapat pengiktirafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP.

PROTON kini bukan sahaja merupakan Syarikat pengeluar kereta, tetapi ia juga berperanan sebagai pemangkin utama kepada usaha pembangunan negara yang dilihat telah berkembang pesat berkat keupayaannya menguasai teknologi canggih yang diraih hasil usahama bersama rakan kongsi dan pelbagai kerjasama teknikal. Tidak dinafikan bahawa Syarikat telah membantu meningkatkan ekonomi Malaysia melalui kemajuan dan kejayaan dalam industri automobil.

Sentiasa mendengar keperluan dan kehendak PROTON, kereta Proton kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat pada masa hadapan, dengan menjadikan PROTON sebagai sebuah syarikat yang mengeluarkan kereta-kereta yang berkualiti dan berkeselamatan tinggi beserta semangat dan sepenuh hati; kereta-kereta yang memberikan kepuasan untuk dipandu dan dimiliki. Untuk makluman lanjut, layari http://www.proton.com.