Ahad, 24 Jun 2018

BERITA HARI INI – 24/6/2018

 (by: MJI)

1.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerajaan Pakatan Harapan akan tetap meneruskan pembinaan projek ECRL, manakala projek HSR KL-Singapura akan dikaji semula. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan semula berhubung kos pembinaan projek sepanjang 688 km yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan itu.

2.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Akibat bantahan pelbagai pihak berhubung syarat supaya semua pengusaha restoran di negara ini perlu mengambil tukang masak tempatan, hari ini Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menyatakan bahawa perkara tersebut belum diputuskan lagi sebaliknya ia hanya cadangan.

3.  KUALA LUMPUR 23 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan seharusnya menumpukan perhatian untuk memperbaiki keadaan ekonomi dan bukannya berterusan menjaja kisah hutang negara sehingga menakutkan para pelabur. Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pada masa ini, laporan mengenai keadaan ekonomi negara amat kurang memberangsangkan sehingga menyebabkan kerugian kepada banyak agensi yang melibatkan rakyat antaranya KWSP.

4.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Parti Gerakan mengumumkan keluar daripada BN selepas mengambil kira pelbagai faktor susulan kekalahan dalam PRU-14. Gerakan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) parti itu hari ini.

5.    JOHOR BAHRU 23 Jun – Dua kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan ditemukan lemas selepas dipercayai mandi di kawasan lombong tinggal berdekatan Taman Suria, di sini petang tadi. Mayat mangsa pertama, Norfifi Allysa Natalia Abdullah, 12, ditemukan pukul 6.26 petang, manakala mayat Mohamad Affiq Afnan Abdur Razzaq, 9, yang merupakan orang kurang upaya (hyperaktive) ditemukan pada 8.05 malam oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Johor Bahru. 

6.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan persaraannya secara rasmi daripada arena politik tanah air selepas kira-kira 39 tahun berkecimpung dan menyumbang bakti kepada UMNO dan negara. Sudah tiba masanya Wanita UMNO mempunyai seorang ketua baharu yang lebih muda dan membawa idea lebih segar.

7.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan meminta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menghubungi Parti Gerakan berikutan keputusan komponen itu keluar daripada BN. Pemangku Pengerusi BN itu memberitahu, setakat ini pihaknya masih belum menerima surat rasmi daripada parti tersebut.

8.  KUALA TERENGGANU 23 Jun - Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kebangsaan (Alumni GPMS) berharap kerajaan Pas Terengganu akan terus membantu mempertahankan kecemerlangan pendidikan negeri ini. Justeru pertubuhan itu meminta kerajaan negeri meneruskan penyaluran kewangan kepada Jabatan Pendidikan sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu bagi menjayakan beberapa program teras.

9.  PHNOM PENH 23 Jun - Pihak berkuasa Kemboja memberkas 33 orang wanita yang dipercayai dibayar untuk menjadi ibu tumpang oleh pasangan dari China dalam satu serbuan di sini semalam. Lima diberkas termasuk warga negara China dalam operasi di ibu negara berkenaan yang diketuai oleh Unit Antipemerdagangan Manusia, Keo Thea.

10.  HULU TERENGGANU 23 Jun - Bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar kecewa apabila perwakilan daripada beberapa cawangan tidak dapat mengundi dalam pemilihan pergerakan itu hari ini disebabkan masalah teknikal. Ini disebabkan kegagalan mereka mengemukakan Surat Tauliah Perwakilan untuk didaftarkan di Pejabat UMNO bahagian dalam tempoh yang ditetapkan.

11.  MUAR 23 Jun - UMNO Bahagian Muar akan membuat ketetapan bahawa parti itu tidak akan membuka keahliannya kepada kaum lain, tetapi sebaliknya kekal untuk orang Melayu dan bumiputera sahaja. Ketuanya, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, walaupun keputusan PRU-14, 9 Mei lalu tidak memihak kepada BN, namun orang Melayu masih memerlukan UMNO.

12.  SEREMBAN 23 Jun - Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan debat antara calon Presiden yang bakal diadakan pada 29 Jun ini sebagai platform bagi membincangkan masa depan dan hala tuju UMNO. Debat tersebut dilihat sebagai perbincangan antara ahli keluarga UMNO yang sekali gus mempamerkan UMNO baharu dan bukan menyerang antara satu sama lain.

13.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan terus kekal dalam UMNO meskipun sekiranya ditakdirkan tidak dipilih sebagai Presiden parti itu pada pemilihan yang berlangsung Sabtu depan. Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden itu berkata, beliau juga akan membantu sesiapa sahaja yang bakal memimpin UMNO untuk memperkukuhkan parti keramat itu.

14.  GUA MUSANG 23 Jun - Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan cadangan debat antara beliau dengan calon-calon Presiden lain secara umum tidak mendatangkan keburukan atau memecah-belahkan parti. Debat tersebut hanya bertujuan membolehkan ahli-ahli mendapatkan pandangan calon-calon mengenai isu semasa dan mengenali mereka dengan lebih dekat.

15.  KUALA TERENGGANU 23 Jun - Badan Perhubungan UMNO negeri menubuhkan Tabung Prihatin Terengganu bagi meringankan bebanan kira-kira 1,000 kakitangan lantikan politik dalam pelbagai organisasi yang akan ditamatkan kontrak perkhidmatan akhir bulan ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

16.  KUALA LUMPUR 23 Jun - MCA akan tetap bersama BN dan menyatakan komitmen bersama-sama dengan UMNO dan MIC terus berusaha merapatkan jurang di antara kaum di negara ini. AJK Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kelangsungan BN kini bergantung kepada kepemimpinan baharu yang dibentuk selepas pemilihan parti komponen.

17.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilaporkan tidak tersenarai sebagai anggota Kabinet Kerajaan PH kerana nama beliau dikatakan mungkin ditolak oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ekoran pelbagai kenyataannya sebelum ini yang disifatkan berunsur perkauman, kata S/U Agung DAP, Lim Guan Eng.

18.  SEREMBAN 23 Jun - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan perwakilan supaya memilih calon yang mampu membawa perubahan kepada parti dalam pemilihan kali ini. Perkara itu penting kerana UMNO kini dalam proses untuk menyusun semula strategi bagi memperkasakan dan memperkuatkannya semula.

19.  MARUDI 23 Jun - Mayat dua cucu yang hilang bersama datuknya ketika memancing di Jeti Sungai Baram ditemukan berdekatan lokasi dipercayai mereka jatuh sebentar tadi. Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, mayat mangsa kedua dikenal pasti sebagai Mohd. Zafril Wasli, 13, ditemukan pada pukul 1.03 petang manakala Mohd. Alyee Ong Zulkifli, 14, pada pukul 2 petang tadi.

20.  LUMUT 23 Jun - Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan, keputusan beliau tidak bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti kali ini kerana mahu memberi ruang kepada calon lain. Walaupun ramai yang mengesyorkan beliau bertanding Naib Presiden, namun beliau berpandangan peluang wajar diberikan kepada orang lain.

21.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Pegawai Jakim perlu ditempatkan di kesemua kementerian dan agensi kerajaan bagi memastikan program dan aktiviti yang dijalankan patuh syariah. Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, langkah itu bagi memperkasakan peranan Jakim dan menaik taraf kedudukan mufti setinggi yang mungkin.

22.  BUKIT MERTAJAM 23 Jun - Keseronokan lima kanak-kanak yang sedang leka menunggang basikal lajak dalam keadaan berbahaya mengundang padah selepas mereka ditahan sepasukan anggota polis di sini, semalam. Mereka ditahan kira-kira pukul 5.45 petang di Jalan Tok Elong selepas polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti kanak-kanak terbabit.

23.  KUCHING 23 Jun - Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang baharu disasarkan untuk dilancarkan pada Hari Sarawak iaitu 22 Julai hadapan. Pengerusi Jawatankuasa Teknikal bagi pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, j/kuasa tersebut dianggotai Setiausaha Agung parti terlibat iaitu PBB bersama SUPP, PRS dan PDP serta pakar perundangan.

24.  KLANG 23 Jun - Sebanyak tujuh gadis GRO warganegara Vietnam ditahan dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Klang, di sini tengah malam tadi. Serbuan dilakukan oleh JSJ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kira-kira pukul 12.20 tengah malam hasil maklumat orang awam serta risikan pihak polis.

25.  KUANTAN 23 Jun – TPM Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, masih terdapat kekangan yang perlu diperhalusi dan dibincangkan sebelum kerajaan melaksanakan potongan caruman KWSP suami untuk suri rumah. Sehubungan itu kerajaan akan mengadakan persidangan pada 8 Ogos ini bagi membincangkan dan merumuskan berhubung perkara itu.

26.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Sikap sesetengah pemimpin yang sombong dan tidak beretika ketika berkuasa menyebabkan rakyat menjadi marah lalu menolak UMNO dan BN pada PRU-14. Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, sikap negatif sesetengah pemimpin menyebabkan imej UMNO dan BN menjadi buruk di mata rakyat.

27.  PONTIAN 23 Jun - Dua beranak terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Pontian-Kukup dekat Pekan Telok Kerang, dekat sini malam tadi. KPD Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, mangsa ialah Norasmah Ab. Karim, 37, dan anaknya, Muhammad Azqullah Azhar, 4.

28.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Semua ahli UMNO perlu menerima keputusan pemilihan tiga sayap parti itu dengan hati terbuka dan bersedia untuk terus berjuang demi rakyat serta pembangunan negara. Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ahli UMNO juga perlu terus membina penyatuan bersama rakyat dalam meraih sokongan serta kepercayaan mereka.

29.  KUANTAN 23 Jun - Dua penumpang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) maut selepas terbabit kemalangan melibatkan tiga kenderaan di km 233.6 LPT1 berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kuantan di sini, tengah malam tadi. Mangsa, Hamzah Hitam, 77, dan cucunya Muhammad Hairi Kosni, 18, meninggal dunia ditempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 12.05 tengah malam itu.

30.  IPOH 23 Jun - Seramai 43 pelatih wanita daripada 344 perajurit muda berjaya menamatkan Latihan Perajurit Muda Udara TUDM Siri 58/2018 di Akademi Tentera Udara Ipoh di sini hari ini. Majlis Istiadat Perbarisan Tamat Latihan itu telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

31.  BAITULMUQADDIS 23 Jun - Putera William menjadi kerabat diraja Britain pertama yang akan mengadakan lawatan rasmi ke Israel dan wilayah Palestin. Duke of Cambridge berusia 36 tahun itu akan memulakan lawatannya Isnin ini namun tanpa kehadiran isterinya, Kate Middleton yang baharu sahaja melahirkan cahaya mata ketiga mereka, Putera Louis Arthur Charles April lalu.

32.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Tiga buah kereta yang diletakkan berhampiran Kompleks Mahkamah Petaling Jaya dekat sini, rosak akibat dihempap pokok tumbang dalam kejadian petang semalam. Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 6.54 petang sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya dihantar ke lokasi.

33.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Kerajaan PH mula menampakkan ciri-ciri diktator apabila mengugut 1.6 kakitangan kerajaan supaya menyokong kepemimpinan pakatan berkenaan, jika tidak tidak mahu berdepan dengan tindakan tegas. Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam kenyataannya berkata, TPM, Datin Seri Wan Azizah Ismail sendiri mengingatkan semua penjawat awam supaya menyokong kerajaan atau kemungkinanan dikenakan tindakan termasuk buang kerja.

34.  TAPAH 23 Jun - Beberapa strategi berbentuk pendidikan, pencegahan dan penguatkuasaan dilaksanakan JPJ dalam operasi sempena Hari Raya Aidilfitri 2018, termasuk rondaan bermotosikal membantu mengurangkan kemalangan. Selain rondaan membabitkan 200 motosikal JPJ di 'kawasan panas' di seluruh negara yang diperkenalkan tahun ini, pegawai dan anggota meneruskan strategi menyamar sebagai penumpang bas sepanjang operasi berkenaan sejak 8 Jun lalu dan akan berakhir esok.

35.  KUANTAN 23 Jun – TPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan MP Kuantan, Fuziah Salleh di kediamannya di Kampung Sepat, dekat sini, hari ini. Ketibaan Wan Azizah disambut Fuziah bersama suaminya, Prof Dr Russly A Rahman. Pasangan pengantin Siti Ruwaida Russly,26, dan Muhammad Firdaus Mohd Ruslee,29, dinikahkan semalam.

36.  PEKAN 23 Jun - Anak kepada bekas PM, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohd Nizar Najib dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Pekan yang baharu selepas diumumkan menang tanpa bertanding. Mohd Nizar, 40, menggantikan Datuk Shahruddin Ahmad yang memegang jawatan itu bagi penggal lalu selepas Shahruddin tidak bertanding pada pemilihan kali ini apabila sudah melepasi syarat kelayakan umur bagi pertandingan jawatan ketua pemuda.

37.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Polis masih belum membuat sebarang tangkapan berhubung kejadian rompakan sebuah bank di Setapak, di sini, semalam. Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata pihaknya masih mengumpul maklumat berkaitan sebelum mengambil tindakan seterusnya.

38.  KUALA LUMPUR 23 Jun - Kementerian Pendidikan memperuntukkan dana RM500,000 bagi proses membaik pulih 10 bilik darjah SMK Seri Pantai, di sini. KSUnya, Datuk Seri Ghazali Abas, berkata pihaknya bersama JKR akan meneliti nilai kerosakan berkenaan selama dua minggu selepas dua blok sekolah terbabit rosak teruk akibat angin kencang dan hujan lebat, semalam.

39.  KUALA LANGAT 23 Jun - Pemuda UMNO Kuala Langat menggesa 54 Ahli Parlimen daripada parti itu terus memperjuangkan agama, bangsa dan negara menerusi platform Dewan Rakyat. Wakilnya, Mohd Faizal Saadon, yang membahas usul itu, berkata masyarakat Melayu Islam di negara ini amat berharap kepada Ahli Parlimen berkenaan untuk terus mendokong agenda Bumiputera.

40.  MELAKA 23 Jun - Para perwakilan yang hadir Mesyuarat UMNO Bahagian Tangga Batu cemas apabila lantai tingkat satu Hotel Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini yang dijadikan lokasi bersidang meletup, hari ini. Kejadian pada pukul 2 petang itu berlaku kira-kira lima minit sebelum mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu berlangsung.

41.  SIBU, 23 Jun - Sarawak akan melaksanakan undang-undang pengawalseliaan ke atas aktiviti-aktiviti minyak dan gas di negeri itu mulai 1 Julai ini. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang tidak membenarkan Petronas meneruskan prosiding terhadap kerajaan negeri berhubung hak kawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu.

42.  GEORGE TOWN, 23 Jun - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bersama Persatuan Hindu Sangam Pulau Pinang hari ini menganjurkan program masakan 'Indian Healthy Traditional Cookings'. Program yang disertai 30 peserta dan berlangsung di taman organik milik persatuan itu merupakan langkah pertama CAP dalam usaha memupuk kesedaran tentang kepentingan makanan berkhasiat dan cara penyediaan makanan itu.

43.  GEORGE TOWN, 23 Jun - Kerajaan negeri mencadangkan bantuan sara hidup nelayan dalam bentuk wang tunai sebelum ini diganti dengan pemberian kad subsidi bantuan makanan dan barang keperluan. Ia bagi memastikan nelayan dan keluarga mereka benar-benar mendapatkan barang keperluan asas daripada kedai-kedai terpilih mengikut had serta kelayakan yang ditetapkan. 

44.  BATU PAHAT, 23 Jun - Pelajar negeri ini yang berjaya menerima tawaran pengajian di institusi pengajian tinggi boleh membuat permohonan mendapatkan bantuan Insentif Harapan Siswa berjumlah RM1,000 seorang. Bantuan yang juga antara 10 janji tawaran Pakatan Harapan Johor bagi tempoh 100 hari selepas menerima mandat membentuk kerajaan negeri itu boleh dikemuka secara dalam talian menerusi laman sesawang Yayasan Pelajaran Johor.

45.  KUALA LUMPUR, 23 Jun - Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Latifah Merican Cheong meninggal dunia pada usia 67 tahun akibat kanser payu dara malam  tadi. Allahyarham Latifah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya dekat sini kira-kira 10.15 malam di sisi anak-anak dan anggota keluarga yang lain.

46.  JOHOR BAHRU, 23 Jun - Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor Berhad (KPMNJ), antara 100 Koperasi Terbaik Malaysia Tahun 2017 akan membangunkan tanah seluas 10,108 meter persegi (1.0108 hektar) di Taman Tampoi Indah di sini sebagai projek pembangunan bercampur yang mempunyai nilai pembangunan kasar keseluruhan antara RM320 juta hingga RM350 juta.

47.  SEPANGGAR, 23 Jun - Kerajaan Sabah menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Syarikat Petronas untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak negara itu mengawal selia aktiviti cari gali dan perlombongan minyak dan gas di negeri itu, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

48.  SEREMBAN, 23 Jun - Kerajaan Negeri Sembilan memberi perhatian serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negeri, kata Menteri Besar Aminuddin Harun. Beliau berkata pelbagai langkah serta pendekatan akan diambil dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan di negeri ini.

49.  HULU SELANGOR, 23 Jun - Seramai 199 pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel (Lelaki) Siri 3/2017 di PULAPOL Bukit Sentosa di sini, berjaya menamatkan latihan mereka hari ini. Mereka yang mengikuti latihan asas selama enam bulan mulai Disember tahun lalu, diraikan pada majlis tamat latihan PLAK di Maktab PDRM Kuala Kubu Bharu di sini, yang disempurnakan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor.

50.  KUALA PILAH, 23 Jun - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir yakin kerajaan PH akan melakukan yang terbaik untuk mengotakan janji 100 hari mereka. Katanya sebahagian janji tersebut telah dilaksanakan sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada bulan lepas.

51.  KEMAMAN, 23 Jun - Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas setelah terjun ke dalam Sungai Kemaman dari sebuah kapal pada 12 tengah malam Khamis lepas ditemukan terapung 100 meter dari lokasi kejadian pukul 6.50 pagi tadi. Timbalan KPD Kemaman, Mohd Haki Hasbullah berkata mayat mangsa dijumpai terapung berhampiran sebuah kapal dan dibawa naik ke darat oleh pasukan penyelamat.

52.  GEORGE TOWN, 23 Jun - Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kedah dan Kerajaan Persekutuan berhubung isu pembalakan di Ulu Muda di Kedah, yang merupakan ancaman kepada kawasan tadahan air di Empangan Muda di situ. Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kawasan tadahan air di Empangan Muda, Ulu Muda yang menyalurkan air ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis itu semakin mengecil dan jika isu pembalakan tidak diatasi segera, ia akan menyebabkan tiga negeri berkenaan menghadapi risiko krisis air serantau.

53.  JOHOR BAHRU, 23 Jun - Kerajaan negeri bersedia membantu penduduk Orang Asli dari Kuala Masai di sini yang dibelenggu pelbagai isu pampasan berkenaan tanah mereka sejak 2010. MB Johor Datuk Osman Sapian berkata kesediaan itu termasuk mengkaji kronologi kes (pampasan) agar kerajaan negeri memahami situasi sebenar.

54.  PUTRAJAYA, 23 Jun - Jabatan Perikanan hari ini memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas termasuk penggantungan dan pembatalan lesen kepada pengusaha vesel pukat Apollo yang didapati melakukan aktiviti menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan, kata Ketua Pengarahnya Datuk Munir Mohd Nawi.

55.  SEPANGGAR, 23 Jun - Satu jawatankuasa khas akan ditubuh bagi mengendalikan proses kelulusan pembangunan hartanah di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Beliau berkata langkah itu bagi mempercepatkan proses kelulusan bagi membolehkan pembangunan sektor berjalan lancar, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada negeri.

56.  KUALA LUMPUR, 23 Jun - Kerajaan perlu memperkenalkan sistem penilaian kesihatan mental yang boleh menentukan sejauh mana gangguan mental boleh membawa kepada kejadian atau perbuatan jenayah, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye. Penyakit mental boleh digambarkan sebagai 'bom jangka' yang boleh meletup pada bila-bila masa sekiranya tidak dikendalikan dengan berkesan.

57.  KANGAR, 23 Jun - Kerajaan Perlis akan meneruskan bantuan kepada pertubuhan kebajikan berdaftar di negeri ini, walaupun kini sudah tidak sealiran dengan kerajaan pusat. MB Datuk Seri Azlan Man berkata walaupun Perlis negeri pembangkang, peruntukan untuk pertubuhan-pertubuhan itu sedia ada dalam bajet, namun jumlahnya bergantung kepada pendapatan kerajaan negeri.

58.  KUANTAN, 23 Jun - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang ini menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abdulaziz di sini sempena lawatan pertama beliau yang pertama di negeri ini selepas dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau tiba bersama-sama Pengerusi Parti Keadilan Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman di istana berkenaan pada pukul 3.05 petang sebelum meluangkan masa selama dua 20 minit bersama Tengku Abdullah.

59.  KLUANG, 23 Jun - MP Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berhasrat menjadikan Simpang Renggam sebagai bandar berkembar dengan beberapa bandar di Amerika Syarikat dan Australia bagi mentransformasikan bandar berkenaan. Beliau kini dalam peringkat perbincangan bersama duta dari dua negara tersebut bagi merealisasikan hasrat itu.

60.  PUTRAJAYA, 23 Jun - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 45 individu terdiri daripada 38 warga asing dan tujuh warga tempatan dalam Op Gegar di sebuah pusat pelacuran dikenali sebagai 'Rumah Merah' yang berfungsi khas untuk warga asing di Jalan Petaling, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas. Daripada jumlah keseluruhan individu yang ditahan, 34 individu merupakan wanita warganegara asing iaitu 24 warga Indonesia, tujuh (India) dan tiga (Bangladesh).

BERITA SUKAN:

1.  KALININGRAD 23 Jun - Xherdan Shaqiri mengakui, dia agak beremosi, namun enggan mengulas selepas mencetus kontroversi meraikan jaringan kemenangan Switzerland ke atas Serbia dengan membuat isyarat bendera Albania, awal pagi tadi. Pemain berusia 26 tahun itu meledak gol kemenangan pada minit terakhir permainan untuk membantu Switzerland menumpaskan Serbia 2-1 dalam aksi kedua Piala Dunia, Kumpulan E.

2.  RUSIA 23 Jun - Xherdan Shaqiri muncul wira Switzerland apabila meledak gol kemenangan ketika membantu pasukannya menewaskan Serbia 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan E Piala Dunia di Stadium Kaliningrad, sebentar tadi. Skuad kendalian Mladen Krstajic terlebih dahulu berada di depan menerusi tandukan Aleksandar Mitrovic seawal minit kelima selepas menerima hantaran lintang daripada Dusan Tadic.

3.  IZHNY NOVGOROD 23 Jun - Pemain Croatia, Ante Rebic nyata kecewa terhadap persembahan dan cara Argentina berdepan kekalahan 3-0 sehingga dia membatalkan keputusan untuk bertukar jersi dengan Lionel Messi. Rebic meledak gol pembukaan susulan kesilapan Willy Caballero sebelum Luka Modric dan Ivan Rakitic membolehkan mereka meraih kemenangan selesa sekali gus menempah tiket ke pusingan 16 terbaik.

4.  VOLGOGRAD 23 Jun - Kapten Nigeria, John Obi Mikel menggesa Croatia supaya lebih profesional dengan tidak merehatkan pemain pada aksi penentu nasib skuad 'Super Eagles' itu di Piala Dunia. Dua gol Ahmed Musa memastikan peluang Nigeria untuk mara ke pusingan kedua terus terbuka apabila menundukkan Iceland 2-0 di Volgograd, malam tadi.

5.  REPINO, Russia 23 Jun - Selepas bermula cemerlang dalam kejohanan utama dalam tempoh 12 tahun menerusi sentuhan kapten Harry Kane pada masa kecederaan menentang Tunisia, England pastinya mengharapkan pertemuan berikutnya dengan Panama menjanjikan lebih ketenangan.

6.  SOCHI 23 Jun - Jerman tidak boleh melakukan kesilapan apabila menentang Sweden pada awal pagi nanti, dengan juara bertahan itu turut mengikuti jejak Brazil untuk kembali menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati. Skuad kenalian Joachim Loew tewas mengejut 0-1 kepada Mexico dalam aksi pembukaan Kumpulan F, susulan persembahan hambar separuh masa pertama yang mencetuskan kritikan.

7.  LONDON 23 Jun - Lionel Messi tidak memiliki kualiti kepemimpinan seperti yang ada pada Cristiano Ronaldo, kata bekas pemain Barcelona, Emmanuel Petit. Messi bergelut untuk mencipta impak pada Piala Dunia kali ini apabila Argentina berdepan prospek untuk tersingkir awal susulan tewas 0-3 di tangan Croatia, semalam.

8.  KAZAN 23 Jun - Colombia menuju perlawanan Kumpulan H menentang Poland awal pagi Isnin dengan tekanan mendapatkan keputusan positif dan persiapan mereka dibayangi siasatan polis berhubung ancaman bunuh ke ata pemain tengah, Carlos Sanchez.

9.  LE CASTELLET, Perancis 23 Jun - Isu kesesakan trafik yang teruk serta masalah tempat letak kenderaan menghantui perlumbaan Formula Satu (F1), Grand Prix (GP) Perancis, yang menyaksikan pembeli tiket mula melepaskan kemarahan. Kebanyakan peminat, yang membeli tiket untuk menyaksikan dua sesi latihan bebas pada petang Jumaat tidak boleh sampai ke kawasan sirkit kerana kenderaan yang beratur di situ terlalu panjang menuju ke litar Le Castellet.

10.  CHICAGO 23 Jun - Pelari pecut Noah Lyles melakar masa terpantas 100 meter tahun ini dengan 9.88 saat untuk memenangi kejohanan kebangsaan Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi. Atlet berusia 20 tahun konsisten berlari dari belakang dan mengatasi pemenang tempat kedua, Ronnie Baker, untuk mengatasi catatan 9.89s dilakukannya pada separuh akhir Kejohanan AS, Des Moines, Iowa itu.