Selasa, 11 Disember 2018

Abdul Azeez Rahim bidas dakwaan Mujahid tentang TH

Kenyataan Akhbar 

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Bin Abdul Rahim Bagi Menjawab Dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa Berkaitan Isu Hibah Tabung Haji.

Tidak sampai seminggu selepas tohmahan terhadap pengurusan Tabung Haji (TH) yang lepas kononnya menyalahgunakan dana Yayasan TH bagi tujuan politik, satu lagi dakwaan dilemparkan. Walaupun penjelasan lengkap saya berhubung tohmahan isu Yayasan TH masih gagal dijawab oleh pengurusan baharu TH, timbul pula tuduhan lain yang serius. 

Saya terkejut dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa kononnya pengurusan terdahulu telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dengan tidak mengikut Akta Tabung Haji 1995. Dengan kata lain TH dikatakan telah membayar hibah kepada pendeposit secara haram berjumlah RM12.652 bilion selama empat tahun berturut-turut sehingga 2017 mengakibatkan TH kekurangan RM 4.1 bilion. 

Asas kepada tuduhan beliau adalah aset keseluruhan TH adalah lebih rendah iaitu RM70.3 bilion berbanding liabiliti sebanyak RM74.4 bilion. Maka saya ingin tegaskan bahawa pengurusan TH terdahulu tidak melanggar akta berkenaan dan tidak melakukan apa-apa kesalahan seperti yang didakwa. 

Ini kerana YB Menteri tidak mengambil kira laporan Ernst &Young (EY) dalam menilai nilai realis aset keseluruhan melibatkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama  dan hartanah. Apa yang diambil kira hanya laporan kewangan semata-mata. 

Bagi tahun 2015, nilai realis aset adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion  yakni ada lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion. 
Nilai aset realis pada tahun 2016 adalah sebanyak RM69.1 bilion manakala agregat liabiliti setelah mengambil kira hibah 2016 adalah sebanyak RM68.4 bilion maka ada lebihan aset ke atas liabiliti sebanyak RM701 juta.
Bagi tahun 2017,  nilai aset realis adalah sebanyak RM74.7 bilion berbanding aggregat liabiliti termasuk bayaran hibah 2017 sebanyak RM74.4 bilion maka ada lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM373 juta.
Berdasarkan laporan kewangan Price Waterhouse Coopers (PWC) yang dibuat pada ogos 2017 yang diberikan kepada setiap Ahli Parlimen semalam, juga ada terkandung laporan EY yang menunjukkan aset TH  melebihi liabiliti untuk ketiga-tiga tahun (2015, 2016, 2017).

Mengikut peruntukan seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995, aset Kumpulan Wang tidak kurang daripada jumlah liabiliti Kumpulan Wang, amaun yang kena dibayar kepada pendeposit dikira seolah-olah kena dibayar dengan serta-merta. Sejak 2015 TH telah menilai semua aset pada nilai realis (nilai pasaran semasa)  dan bagi tiga tahun yang lepas , berdasarkan laporan yang disahkan oleh firma audit luar, nilai aset tabung haji melebihi semua liabiliti. Untuk makluman, nilai realis aset adalah nilai pasaran semasa dan bukan nilai kos pelaburan asal. 
Maka Tabung Haji telah membayar hibah mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dan tidak menyalahi sebarang undang-undang.
Penyata kewangan yang dibentangkan ke Parlimen setiap tahun belum mengambil kira kesemua aset pada nilai pasaran terkini kerana pelaburan dalam anak syarikat, syarikat usahasama, syarikat bersekutu dan hartanah masih dinyatakan pada nilai kos asal.
Penilaian yang dinyatakan oleh YBM semalam berbeza daripada  apa yang dibuat oleh TH, iaitu beliau tidak mengambil kira nilai pasaran terkini. 
Apa yang dibuat oleh TH terdahulu adalah tidak salah kerana penilaian tersebut disahkan oleh tetuan EY yang sangat profesional dan beretika. Selain EY, laporan dan kedudukan kewangan TH telah disemak oleh Jabatan Audit Negara ( JAN) yang kemudian memperakukannya melalui sijil  bersih setiap tahun kepada Tabung Haji.  

Perlu diingatkan bahawa badan berkanun mestilah tertakluk kepada Ketua Audit Negara dalam urusan dan pengesahan audit. Ini jelas termaktub dalam Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan 1980) sepertimana dinyatakan dalam Seksyen 5(1) dan 5(2) serta Seksyen 6. Sekalipun wujud perbezaan pandangan dan tafsiran mengenai dasar perakauanan dalam penilaian aset antara EY dan Price Waterhouse Coopers (PWC) seperti yang dirujuk oleh YB Menteri, akhirnya laporan muktamad adalah berdasarkan pengesahan Jabatan Audit Negara.

Selain itu, pelbagai langkah lain turut diambil bagi memelihara kewibawaan dan amanah termasuk penubuhan Jabatan Integriti di TH. 
Berhubung keadaan pasaran saham merudum teruk pada tahun 2018, ia bukanlah kerana kelemahan pengurusan terdahulu tetapi disebabkan faktor ekonomi luar dan dalam negara yang kesannya dirasai oleh semua agensi. Persoalannya apa pengurusan baharu TH telah lakukan untuk mengatasi cabaran dan keadaan ini. Berapakah keuntungan  yang dijana sejak bulan Julai 2018? 

Saya hairan mengapa YB Menteri dan pengurusan tertinggi TH yang baharu masih ghairah mahu mencari kesalahan pengurusan terdahulu sehingga sanggup melemparkan tohmahan dan memainkan sentimen liar. Adalah tidak bertanggungjawab bagi YB Menteri membuat kenyataan tanpa siasatan yang lengkap terlebih dahulu. Janganlah asyik mengambil pendekatan menggunakan media bagi mengelirukan dan meresahkan rakyat terutamanya kepada 9.3 juta pendeposit TH. Saya tidak pasti apa sebenarnya masalah pengurusan TH sekarang tetapi saya sangat berharap TH dapat ditadbir dengan baik, bertindak secara objektif dan kompetitif.

Saya juga berharap pengurusan TH tidak akan menaikkan tambang bagi musim haji 2019 dengan mengekalkan subsidi seperti yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini bagi menjaga kepentingan bakal jemaah haji. 

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh kakitangan TH atas komitmen dan kerja keras dalam memastikan para pendeposit menerima hibah terbaik daripada simpanan serta pelaburan mereka tanpa melanggar undang-undang.

Akhir sekali, saya bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pengurusan TH dan pihak berwajib termasuk bagi tujuan siasatan jika diperlukan bagi menjaga kesucian dan nama baik Tabung Haji yang selama ini diiktiraf oleh seluruh dunia. 

Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Bin Abdul Rahim
Mantan Pengerusi Tabung Haji
Ahli Parlimen Baling
11.12.2018