Khamis, 10 Oktober 2019

PROTON dan Bank Rakyat menawarkan pakej pembiayaan istimewa untuk para graduan dan kakitangan kerajaan

PROTON dan Bank Rakyat menawarkan pakej pembiayaan istimewa untuk para graduan baharu dan kakitangan kerajaan bagi kereta-kereta Proton terpilih.

Pakej istimewa yang sah hingga 31Disember 2019 ini menyediakan pembiayaan sehingga 100% bagi setiap pembelian. Pakej ini terdiri daripada dua jenis kadar pembiayaan istimewa, An-Naqlu 1 - menawarkan pembiayaan 90% bermula pada kadar menarik sebanyak 2.88% setahun dan An-Naqlu 2 - menawarkan pembiayaan 100% bermula pada kadar sebanyak 3.30% setahun.

Tawaran ini terhad kepada rakyat Malaysia iaitu graduan baharu yang berusia antara 20
hingga 30 tahun serta kakitangan kerajaan berusia antara 18 hingga 60 tahun untuk pembelian Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga. Skim istimewa bagi servis dan insurans

Menurut Fazli Hisham Shukor, Pengarah Jualan Korporat di PROTON, tawaran ini adalah salah satu daripada pelbagai kerjasama khas di mana PROTON telah laksanakan untuk membantu memudahkan pemilikan semuapelanggan PROTON.

 "Di bawah skim istimewa ini, Bank Rakyat menawarkan kelulusan pembiayaan mudah kepada pelanggan, sementara PROTON menjadikan tawaran ini lebih menarik melalui pakej servis percuma sehingga dua tahun bergantung kepada model yang mereka pilih.

Model Saga didatangkan dengan pakej servis percuma selama setahun, manakala Persona dan
Iriz pula selama dua tahun; termasuklah kos pekerja dan alat ganti secara percuma" katanya.

Di samping itu, para pelanggan turut berpeluang menikmati kelebihan tambahan daripada pakej insurans yang dipertingkat. Mendapat kerjasama Etiqa Takaful dan Zurich Takaful, Program Insurans PROTON menyediakan perlindungan khas iaitu perlindungan utama, elaun banjir serta perlindungan untuk semua pemandu, termasuklah jaminan sifar lebihan caj untuk kereta Proton sehingga 10 tahun.

Pelanggan yang berminat dengan pakej pembiayaan istimewa ini boleh mendapatkannya di semua cawangan PROTON di seluruh negara. Di samping itu, mana-mana syarikat atau perbadanan yang berminat dalam program fleet, sila emel kepada corporatesales@proton.com.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan