Khamis, 9 April 2020

SARANAN YANG BOLEH KERAJAAN PERTIMBANGKAN JIKA PKP DILANJUT



Kurang 24 jam daripada sekarang, Kerajaan akan mengumumkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi atau tamat seperti jadual asal iaitu pada 14 April ini.

Sekiranya PKP dilanjutkan, suka untuk saya sarankan beberapa inisiatif kepada Kerajaan untuk dilaksanakan. Inisiatif-inisiatif ini merangkumi beberapa sektor seperti berikut:

1. Sektor Pendidikan Rendah dan Menengah

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia perlu menggalakkan lagi sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian. Penggunaan platfom yang interaktif mampu merangsang minat guru dan pelajar untuk meneruskan sukatan pelajaran sedia ada. Cara ini juga boleh menghalang pelajar daripada tepu setelah lama terperap di rumah. Slot pendidikan yang disediakan di saluran RTM sekarang juga boleh dipanjangkan tempohnya selain memperluaskan lagi ke saluran-saluran swasta dan berbayar.

Disamping pelaksanaan saranan-saranan di atas, KPM turut perlu mengambil kira batas dan keupayaan para guru supaya proses PdP ini dapat dijalankan dengan sebaiknya.

2. Sektor Pendidikan Tinggi

Kementerian Pendidikan Tinggi boleh menyarankan kepada pihak Universiti untuk menganjurkan kuliah dalam talian supaya sukatan kuliah boleh dihabiskan mengikut jadual asal. Kelebihan hampir setiap pelajar memiliki telefon pintar ditambah inisiatif syarikat telekomunikasi memberikan data internet percuma memungkinkan saranan ini dapat dilaksanakan.

3. Sektor Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

Universiti berasaskan penyelidikan boleh mengambil peluang ini untuk memperkasa sektor R&D. Penyelidikan mengenai virus COVID19 boleh dijalankan untuk memahami sifat dan keperibadian virus tersebut. Dapatan penyelidikan ini boleh dihebahkan kepada orang ramai untuk kebaikan bersama. Kumpulan R&D juga boleh menjalankan kajian untuk mencari vaksin virus ini. Mana tahu mungkin vaksin COVID19 datangnya dari makmal kita?

Untuk merealisasikan hasrat ini, Kerajaan mesti menyediakan geran penyelidikan dengan nilai yang wajar kepada universiti-universiti ini untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi.

R&D yang dijalankan juga perlu melibatkan kepakaran semua pihak dalam bidang perubatan, penjagaan kesihatan, kawalan penyakit, pakar bioinformasi serta 'data scientist' supaya usaha ini dapat digembleng bersama.

4. Sektor Keusahawanan

Kerajaan perlu melancarkan inisiatif khusus untuk usahawan-usahawan PKS sama ada di bandar mahupun luar bandar. Inisiatif ini perlulah membolehkan perniagaan mereka beroperasi semula walaupun dalam tempoh PKP. Sampai bila Kerajaan mampu menghulurkan bantuan dalam bentuk wang ringgit? Platfom perniagaan dalam talian juga boleh diperluas untuk diperkenal dan digunakan oleh mereka.

Atau dengan kata lain, implementasi teknologi jalur lebar 5G perlu disegerakan oleh penyedia perkhidmatan. 

5. Sektor Sains Kemasyarakatan

Satu kajian khusus boleh dijalankan oleh pakar-pakar dalam sektor sains kemasyarakatan untuk mengenalpasti norma-norma kehidupan yang pasti berubah pasca PKP. Dapatan kajian ini boleh digunakan oleh rakyat untuk bersedia dalam menyesuaikan diri sebaik sahaja Kerajaan mengumumkan PKP tamat sepenuhnya kelak. Dapatan kajian ini juga amat penting untuk rakyat membantu memulihkan ekonomi negara.

Melihat laporan harian COVID19 yang disampaikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan, saya merasakan perlunya PKP ini diteruskan lagi sehingga negara kita benar-benar bebas daripada virus ini. Seperti yang pernah saya katakan dahulu, kesihatan rakyat adalah lebih utama dan berharga.

Kerajaan wajar mengkaji kesan penamatan perintah berkurung di Wuhan dalam tempoh 2 minggu akan datang. Ini boleh dijadikan sebagai petunjuk dalam membuat keputusan pelaksanaan PKP yang seterusnya.

Saya menggesa kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberikan kerjasama dalam mematuhi setiap arahan Kerajaan semasa tempoh PKP ini demi untuk memutuskan rantaian COVID19. Kita mesti menang!

#pkp #mco #stopcovid19
#dudukdirumah #stayathome
#kitamestimenang
Mahdhir Khalid