Ahad, 12 Julai 2020

SEPATUTNYA UMNO RASA TERKILAN PADA RAIS YATIM

11 Julai 2020



Anggota Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr. Rais Yatim menyatakan rasa terkilannya terhadap kepemimpinan UMNO yang dilihat lebih mementingkan kerusi yang akan ditandingi nanti berbanding mempertahankan kuasa Melayu Islam.

1. Ketika umat Melayu Islam sedang diancam dengan cadangan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) oleh Pakatan Harapan (PH), di mana suara bantahan PPBM?

2. Di mana suara PPBM pula ketika Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam 405 (Himpunan 405) membantah dengan mana-mana pihak yang cuba menyentuh institusi Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Negara? 

3. Tiba-tiba hari ini PPBM muncul mahu pertahankan kuasa Melayu dan Islam? Jika PPBM ikhlas, alhamdulillah. Namun jika PPBM mempunyai agenda untuk memenangi kembali hati orang Melayu, selamat berjaya diucapkan. 

4. UMNO juga tidak berminat nak menjaja cerita pembahagian kerusi calon menjelang Pilihanraya Umum akan datang. Tetapi Dr. Rais Yatim kena imbau kembali, siapakah yang memulakan sengketa antara rakan parti di dalam Perikatan Nasional (PN). Umum ketahui, ianya datang dari barisan PPBM sendiri.

5. Kenyataan biadap yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Mersing Dr. Abdul Latiff Ahmad yang mengatakan konon nya UMNO sudah 'tidak laku' dan gagal mendapat sokongan rakyat itu sebenarnya berniat jahat meskipun 'salam perkenalan' PN telah menunjukkan tanda-tanda positif. 

6. Sekadar berkongsi maklumat yang mungkin Dr. Rais Yatim terlepas pandang bahawa UMNO / Barisan Nasional telah memenangi enam (6) Pilihanraya Kecil (PRK) berturut - turut dan ianya membuktikan sokongan rakyat telah beransur kembali kepada kami. Bukan niat bermegah mahupun membangga diri tetapi ini fakta. 

7. Penubuhan UMNO sejak dari mula adalah untuk orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Hari ini asas perjuangan parti keramat ini masih sama malahan selama 60 tahun mentadbir kerajaan Persekutuan, semua peringkat golongan rakyat tidak diabaikan. Politik khidmat bakti sudah sebati menjadi DNA UMNO. 

8. Dr. Rais Yatim harus sedar bahawa puak yang memecahkan kuasa Melayu Islam di negara ini adalah parti PPBM yang tergamak bersekongkol dengan DAP sehingga menjadi asbab mereka bagai kadok naik kunjung. Akhirnya syarikat dan harta negara dijual dan lebih menyedihkan lagi aset-aset Tabung Haji juga menjadi mangsa kerakusan kerajaan PH. Di mana suara PPBM ketika itu? 

9. Dalam isu pembahagian kerusi sudah jelas. UMNO mengambil ketetapan bahawa semua kerusi yang UMNO dan Barisan Nasional bertanding pada PRU -14 lepas sebagai 'default' adalah kerusi UMNO Barisan Nasional. Jika ada mana - mana parti mahu mengambil kerusi-kerusi tersebut, maka rundingan dan perbincangan harus diadakan dengan baik. Bukan dengan cara menghina seperti yang PPBM lakukan sebelum ini. 

10. PPBM boleh simpan semua mantan Ahli Parlimen UMNO yang telah lompat ke PPBM namun tempat mereka akan diisi oleh calon dari UMNO / Barisan Nasional. Selain itu juga, ingin saya ingatkan Dr. Rais Yatim bahawa UMNO tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba menekan parti ini dalam menerima apa - apa sahaja keputusan yang akhirnya merugikan orang Melayu.

11. Seperkara yang Dr. Rais Yatim harus sedar adalah kerajaan hari ini dibina dengan sokongan UMNO. Maka tak menjadi kesalahan sekiranya UMNO diberi kedudukan di pelbagai peringkat termasuk di syarikat-syarikat milik kerajaan GLC berdasarkan status sebagai parti di dalam kerajaan. Saya berpendapat secara peribadi UMNO tidak ada masalah untuk melepaskan semua jawatan di dalam GLC dan menarik semula sokongan kepada kerajaan PN, cuma adakah ini yang Dr. Rais Yatim mahukan?

12. Akhir sekali, saya mohon Dr.  Rais Yatim bermuhasabah diri dan tetapkan pendirian beliau. Kerana beliau juga harus jelaskan apakah sebenarnya prinsip perjuangan beliau yang agak 'flip - flop' dengan 'kolam-kolam' berlainan. 

Terima kasih.

DATUK MOHD RAZLAN RAFII
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh