Rabu, 4 Jun 2008

INI KERAJAAN BN BUAT. NAK BANGKANG APA LAGI.

Biasiswa RM2.3 Juta Untuk Penuntut Malaysia Melanjutkan Pelajaran Di Korea

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Sejumlah tujuh penuntut Malaysia menerima biasiswa bernilai RM2.3 juta daripada kerajaan Korea Selatan melanjutkan pengajian mereka di negara itu.

Duta Korea Selatan ke Malaysia Yang Bong Ryull berkata setiap biasiswa yang bernilai lebih RM65,000 setahun meliputi pengajian selama lima tahun yang meliputi kursus bahasa Korea setahun dan empat tahun mahasiswa.

"Biasiswa itu termasuk tambang udara, elaun bulanan, elaun penempatan dan penghantaran pulang, perbelanjaan latihan bahasa, insuran perubatan, serta juga yuran tuisyen," katanya semasa menyampaikan biasiswa tersebut kepada penuntut itu di kedutaan di sini hari ini.

Yang juga berkata beliau berharap biasiswa itu akan mempromosi dan mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan Korea Selatan sambil menambah penuntut tersebut akan berlepas ke Seoul pada 26 Jun bagi mengikuti kursus bahasa itu untuk setahun di 20 pelbagai universiti yang berprestij di negara ini.

Apabila tamat menjalani kursus itu, beliau berkata penuntut tersebut dibenarkan memohon kursus mengikut pilihannya di universiti di Korea Selatan dan mereka dikenakan ikat jamin dengan mana-mana institusi walaupun setelah menamatkan pengajian lima tahun di Korea Selatan.

Yang berkata kerajaan Korea Selatan menawarkan sekurang-kurangnya 30 biasiswa untuk penuntut Malaysia mengikuti program peringkat sarjana dan kedoktoran di Korea Selatan.

Beliau berkata biasiswa itu meliputi elaun bulanan RM2,300 untuk mahasiswa dan RM3,000 program ijazah peringkat sarjana dan kedoktoran sambil menambah lebih 400 penuntut Malaysia kini melanjutkan pengajian mereka di Korea Selatan.

-- BERNAMA