Isnin, 23 Jun 2008

PAS sebelum PRU 12

Re: POLITIK: JUMAAT 22 FEBRUARI 2008

Postby dtecconan on Thu Feb 28, 2008 12:46 am

Pas ketepi fokus negara Islam
Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Che Wan Mohd Badrul Amin Che Wan Alias

Manifesto dilancarkan semalam lebih tumpu usaha bentuk negara kebajikan

KUALA LUMPUR: Manifesto Pas yang dilancarkan semalam, buat pertama kalinya tidak menyentuh mengenai penubuhan negara Islam.

Manifesto bertajuk 'Menuju Negara Berkebajikan' untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 yang dilancarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, itu sebaliknya lebih memfokus kepada perubahan membentuk negara yang menjamin kebajikan rakyat.

Abdul Hadi berkata, Pas tidak akan mengambil langkah terburu-buru menubuhkan negara Islam tetapi lebih menekankan pendekatan kefahaman mengenai Islam kepada rakyat.

"Kita tidak berubah... cuma pendekatan lain yang diambil dengan memberi kefahaman mengenai pemerintahan Islam terutama kepada negeri yang kita memerintah, Kelantan serta Terengganu dan Kedah jika kita menang pilihan raya ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas, di sini semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Zulkifli Ahmad.

Abdul Hadi ditanya bertubi-tubi mengenai penubuhan negara Islam sehingga menyebabkan Kamaruddin hilang sabar dan meninggikan suaranya kepada seorang wartawan.

"Apa yang awak kagum sangat dengan undang-undang yang sedia ada?" kata Kamaruddin.

Wartawan berkenaan berkata beliau hanya ingin penjelasan kerana belum membaca manifesto itu.

Abdul Hadi berkata, Pas memang berhasrat untuk menegakkan negara Islam tetapi mendakwa beberapa kali dihalang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan Kelantan pernah diberi amaran supaya tidak melaksanakan hukum Islam secara menyeluruh manakala kerajaan Pas Terengganu pada penggal lalu pernah diheret ke mahkamah oleh Timbalan Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim," katanya.

Manifesto Pas mempunyai 12 teras iaitu Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih; Pengurusan Kekayaan Negara; Jaminan Keselamatan Nyawa, Kehormatan dan Harta Benda Dengan Membanteras Jenayah; Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan dan Jaminan Perkhidmatan Kesihatan Rakyat; Kebajikan Pekerja Sektor Awam dan Swasta; Pembelaan Kebajikan Menyeluruh Mesra Rakyat; Tawaran Istimewa Bagi Kaum Wanita; Memaju Industri Pertanian; Dasar, Etika dan Amalan Media Massa Adil, Bersih dan Demokratik; Pemuliharaan Alam Sekitar.

Antara kandungan manifesto itu adalah meletakkan Petronas di bawah seliaan Parlimen dan memastikan harga petrol dan diesel kekal 'munasabah' dengan pendekatan subsidi.

Pas juga berhasrat menghapuskan tol dengan kerajaan membeli dan memiliki kembali lebuh raya daripada pemilik konsesi, menghapuskan semua yuran sampingan persekolahan, menghapuskan semua pinjaman tertunggak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, Abdul Hadi berkata, Pas akan bertanding 65 kerusi Parlimen dan 230 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau menegaskan bahawa matlamat Pas dalam pilihan raya umum kali ini adalah untuk mengurangkan majoriti dua pertiga BN dan mengalahkan Umno di semua kerusi majoriti Melayu.



Ditanya sama ada Pas akan bekerjasama dengan DAP dalam pilihan raya umum ini, Abdul Hadi berkata, tidak.